
NEW YORK, 26 September – Malaysia menegaskan Myanmar perlu melaksanakan tanggungjawab sebagai anggota ASEAN termasuk melaksanakan Konsensus Lima Perkara atau 5PC dalam usaha menangani krisis di negara itu.
- Perbincangan menekankan situasi kemanusiaan global semakin mencabar dan keperluan memastikan bantuan terus disalurkan kepada yang memerlukan.
- Malaysia menegaskan komitmen terus terlibat secara konstruktif bersama ASEAN dalam menangani situasi di Myanmar.
- Malaysia menyokong usaha segera mewujudkan peraturan antarabangsa bagi teknologi senjata autonomi.
Perkara itu antara yang dibincangkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, ketika menerima kunjungan hormat Presiden Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), Mirjana Spoljaric, pada sela-sela Minggu Peringkat Tinggi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) ke-81 di sini.
Perbincangan turut memberi tumpuan kepada situasi kemanusiaan global yang semakin mencabar, termasuk keperluan memastikan bantuan kemanusiaan terus dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
Malaysia turut menegaskan komitmen untuk terus terlibat secara konstruktif bersama ASEAN dalam menangani situasi di Myanmar.
Dalam pada itu, Presiden ICRC memohon Malaysia diwakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Mesyuarat Peringkat Tinggi mengenai Kemanusiaan Semasa Perang dijadualkan berlangsung di Jordan, 7 Disember depan.
Persidangan itu diadakan atas jemputan Raja Jordan, Raja Abdullah II, dengan penyertaan di peringkat ketua negara atau kerajaan penting bagi menyampaikan mesej kukuh mengenai komitmen masyarakat antarabangsa terhadap isu kemanusiaan.
Perbincangan turut menyentuh isu sistem senjata autonomi, dengan Malaysia menegaskan keperluan tindakan segera untuk mewujudkan peraturan antarabangsa berkaitan teknologi berkenaan.