Putin sambut baik rundingan AS-China

Vladimir Putin/ REUTERS

ST. PETERSBURG, 26 September – Presiden Rusia, Vladimir Putin menyambut baik rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, sambil menyatakan sebarang persetujuan yang dicapai antara dua ekonomi terbesar dunia itu akan memberi kesan kepada ekonomi global, termasuk Rusia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Putin berkata hubungan Rusia dengan AS hampir terhenti, tetapi perdagangan Rusia-China mencapai AS$240 bilion.
  • Putin menolak istilah cemburu mengenai hubungan Xi dengan Trump; kata cemburu tidak sesuai dalam politik antarabangsa.
  • Keputusan hadir APEC belum muktamad; Putin cenderung menyertai, menganggap forum bermanfaat, keputusan akhir bergantung perkembangan di Rusia.

Beliau berkata hubungan Rusia dengan AS kini hampir terhenti sepenuhnya, namun perdagangan antara Rusia dan China mencecah AS$240 bilion.

“Ini adalah dua ekonomi terbesar dunia. Bergantung kepada bagaimana mereka mencapai persetujuan mengenai isu yang dipertikaikan serta masalah berpunca daripada sekatan tidak sah yang dikenakan AS.

“Sebarang persetujuan yang dicapai akan memberi kesan kepada keseluruhan ekonomi global, termasuk ekonomi kita,” katanya kepada wartawan di sini.

Menjawab soalan wartawan sama ada beliau berasa cemburu terhadap Presiden China, Xi Jinping berhubung hubungan pemimpin itu dengan Presiden AS, Donald Trump, Putin berkata istilah cemburu tidak sesuai digunakan dalam konteks politik antarabangsa.

“Cemburu berada dalam bidang yang sama sekali berbeza, iaitu bersifat kemanusiaan dan berkaitan hubungan antara lelaki dan wanita. Dalam politik antarabangsa, saya fikir kategori seperti itu tidak digunakan,” katanya.

Mengenai penyertaannya pada Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang akan datang, Putin berkata keputusan mengenainya masih belum dibuat dan bergantung kepada keadaan di Rusia.

“Secara keseluruhannya, ini merupakan acara besar dan penting, dan saya menerima jemputan. Saya berpendapat penyertaan dalam forum seperti ini adalah bermanfaat,” katanya.

Putin berkata beliau turut membincangkan perkara itu dengan Xi dan cenderung untuk menyertai sidang berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan keputusan akhir bergantung kepada perkembangan keadaan dalam Rusia.

Sidang Kemuncak APEC dijadualkan berlangsung di Shenzhen, China pada 18 dan 19 November.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.