
HYDERABAD, 26 September – Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif menyampaikan ucapan takziah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarga atas pemergian abangnya, Idrus Ibrahim.
- Ucapan takziah disertai doa agar roh Allahyarham Idrus ditempatkan di syurga dan keluarga diberi kesabaran.
- Datuk Seri Anwar mengucapkan terima kasih atas ucapan dan doa yang disampaikan.
- Allahyarham Idrus Ibrahim, 83, meninggal di kediaman Cheruk Tok Kun, Bukit Mertajam; dikebumikan selepas solat Jumaat.
“Amat berdukacita atas pemergian Idrus Ibrahim… Ucapan takziah dan doa tulus saya bersama saudara saya Anwar Ibrahim dan keluarganya.
“Semoga Allah SWT menempatkan roh Allahyarham di syurga dan mengurniakan kesabaran kepada keluarga yang ditinggalkan. Aamiin,” menurut hantaran X Shehbaz Sharif.
Dalam hantaran balas susulan ucapan tersebut, Datuk Seri Anwar mengucapkan terima kasih kepada Shehbaz atas ucapan dan doa beliau.
“Amin. Terima kasih saudara saya PM @CMShehbaz atas kata-kata baik dan doa saudara. Saya dan keluarga amat menghargainya,” jawapan balas Datuk Seri Anwar menerusi hantaran Shehbaz Sharif menerusi X.
Idrus Ibrahim, 83, meninggal dunia di kediamannya di Cheruk Tok Kun, Bukit Mertajam, pada 6.10 petang Khamis.
Allahyarham dikebumikan pada 2.50 petang selepas solat Jumaat dan solat jenazah di surau sementara Masjid Jamek Cheruk Tok Kun Bawah.