
KUALA LUMPUR, 25 September – Dua pemandu kenderaan perdagangan ditahan selepas didapati positif dadah jenis syabu dalam Operasi Bersepadu Dadah di Plaza Tol Duta, di ibu negara pada 22 dan 23 September lalu.
- JPJ boleh ambil tindakan bawah Seksyen 36 Akta Pengangkutan Jalan 1987 termasuk menggantung lesen jika individu disahkan penagih melalui proses perundangan.
- Sepanjang operasi, 275 kenderaan perdagangan diperiksa, 43 diambil tindakan, dan 62 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
- JPJ WPKL ingatkan syarikat dan pengendali supaya pantau pemandu serta penyelenggaraan kenderaan; keselamatan jalan tanggungjawab bersama.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) Hamidi Adam dalam kenyataan memaklumkan, penahanan itu menerusi 48 saringan air kencing terhadap pemandu yang dilakukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kuala Lumpur.
“Kedua-dua individu berkenaan ditahan bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283) bagi tujuan ujian dan siasatan lanjut.
“Berdasarkan hasil siasatan, tindakan lanjut boleh diambil bawah Seksyen 6(1)(a) atau Seksyen 6(1)(b) akta yang sama.
“Sekiranya individu berkenaan disahkan sebagai penagih dadah melalui proses perundangan yang ditetapkan, JPJ akan mengambil tindakan bawah Seksyen 36 Akta Pengangkutan Jalan 1987, termasuk menggantung lesen memandu individu berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Sepanjang dua hari operasi, sebanyak 275 kenderaan perdagangan diperiksa, dengan 43 kenderaan diambil tindakan dan sejumlah 62 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) serta peraturan-peraturan berkaitan.
“Antara kesalahan yang dikesan ialah tidak mempunyai Lesen Memandu Kompeten (CDL) (6 kes); tidak mempunyai Lesen Kenderaan Barang-barang (GDL) (6 kes); Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (5 kes); dan perlindungan insurans tamat tempoh (2 kes).
“Selain itu turut dikesan ialah nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (7 kes); tidak menyelenggara tayar dengan baik (10 kes); cermin gelap (11 kes); dan tidak menyelenggara kenderaan dengan baik (15 kes),” menurut kenyataan itu.
Daripada keseluruhan tindakan tersebut, sebanyak 31 notis P22, 15 notis bawah Seksyen 61(1), tiga (3) notis bawah Seksyen 63 dan 13 notis PG10 telah dikeluarkan.
Operasi Bersepadu Dadah berkenaan merupakan kerjasama JPJ WPKL dan AADK Kuala Lumpur melibatkan seramai 38 anggota.
Kenyataan sama turut memaklumkan bahawa seramai 25 daripada 341 pemandu telah gagal dalam ujian saringan air kencing pertama bagi tempoh sehingga September 2026.
Tiada kompromi akan diberikan terhadap mana-mana pemandu yang mengabaikan undang-undang atau memandu di bawah pengaruh bahan terlarang sehingga boleh mengancam keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya.
“Syarikat dan pengendali pengangkutan turut diingatkan supaya tidak mengambil mudah aspek pemantauan pemandu dan penyelenggaraan kenderaan.
“Tanggungjawab memastikan keselamatan di jalan raya bukan terletak kepada pemandu semata-mata, malah turut melibatkan pihak yang mengurus dan mengendalikan operasi kenderaan tersebut,” tambah kenyataan itu.
JPJ WPKL akan terus mempergiat dan memperluas operasi penguatkuasaan secara bersepadu bersama agensi berkaitan dari semasa ke semasa.