Polis cedera dilanggar kereta ketika kawal laluan rombongan Sultan Kelantan

Foto Hiasan

KOTA BHARU, 25 September – Seorang anggota polis cedera selepas dilanggar sebuah kereta ketika menjalankan tugas kawalan lalu lintas bagi memberi laluan kepada rombongan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Persimpangan Lampu Isyarat Kepulau, Palekbang, Tumpat, tengah hari tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejadian sekitar 1.25 tengah hari ketika anggota trafik 22 tahun menutup laluan bagi tugas kawalan lalu lintas.
  • Proton Saga dipandu wanita 55 tahun dipercayai gagal melihat anggota lalu melanggarnya; anggota cedera luaran, dirawat sebagai pesakit luar.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 79(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987; polis cari rakaman papan pemuka dan nasihat pengguna patuhi arahan.

Ketua Polis Daerah Tumpat, ACP Mohd Khairi Shafie berkata, kejadian berlaku kira-kira 1.25 tengah hari ketika anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Tumpat berusia 22 tahun itu menutup laluan dari arah Morak ke Palekbang.

Katanya, laluan berkenaan ditutup bagi memberi laluan kepada rombongan Sultan Muhammad V yang dalam perjalanan menunaikan solat Jumaat dan menghadiri Majlis Jamuan Rakyat sempena Ulang Tahun Keputeraan baginda ke-57.

“Siasatan awal mendapati Proton Saga dipandu wanita tempatan berusia 55 tahun dari arah Morak dipercayai gagal menyedari kehadiran anggota polis yang sedang menjalankan kawalan lalu lintas sebelum melanggarnya.

“Akibat kejadian, anggota berkenaan terjatuh dan mengalami kecederaan luaran sebelum dibawa ke Hospital Tumpat untuk rawatan sebagai pesakit luar, manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 79(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan, termasuk usaha mendapatkan rakaman kamera papan pemuka atau rakaman lain yang boleh membantu siasatan.

Polis turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi arahan anggota ketika kawalan lalu lintas dan sentiasa memberi perhatian terhadap keadaan jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.