Pemilik stesen minyak, pembeli RON95 didenda RM25,000

Foto Hiasan

MANJUNG, 25 September – Pemilik sebuah stesen minyak dan seorang pembeli masing-masing didenda RM25,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen Seri Manjung, hari ini, selepas mengaku bersalah menjual dan membeli petrol RON95 untuk kenderaan bernombor pendaftaran asing.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemilik stesen disabit mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Petrol RON95) 2026; pembeli melanggar Peraturan 4(1).
  • Kes dikesan selepas operasi pemeriksaan 11 anggota Bahagian Penguat Kuasa KPDN Cawangan Manjung pada 15 Mei.
  • KPDN menggesa orang ramai menyalurkan aduan melalui saluran rasmi termasuk WhatsApp, portal e-Aduan, pusat panggilan dan e-mel.

Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, pemilik stesen minyak itu didapati bersalah di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Penjualan dan Pembelian Barang Kawalan) (Petrol RON95) 2026, manakala pembeli terbabit melanggar Peraturan 4(1) peraturan sama.

Kes itu dikesan susulan operasi pemeriksaan dan siasatan 11 anggota Bahagian Penguat Kuasa KPDN Cawangan Manjung pada 15 Mei lalu di sebuah stesen minyak di Ayer Tawar.

Operasi dijalankan susulan aduan serta penularan maklumat di media sosial berhubung dakwaan pengisian RON95 oleh kenderaan bernombor pendaftaran asing.

Siasatan mendapati kejadian berlaku pada 13 Mei lalu kira-kira jam 9 malam, apabila RON95 dibeli untuk kenderaan bernombor pendaftaran asing.

Menurut KPDN, pembelian itu dibuat seorang warga Malaysia menggunakan BUDI95, manakala bayaran dibuat menggunakan kad kredit di kaunter.

Kedua-dua tertuduh didakwa di mahkamah hari ini dan mengaku bersalah sebelum masing-masing dijatuhi denda RM25,000 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Nazreen Zabarudin dan Pegawai Pendakwa Muhammad Hanif Abd Aziz.

KPDN turut mengingatkan orang ramai supaya menyalurkan aduan berkaitan salah laku melibatkan barang kawalan melalui saluran rasmi kementerian termasuk WhatsApp, portal e-Aduan, Pusat Panggilan dan e-mel KPDN.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.