Potensi pelaburan China buka peluang perkukuh rantaian bekalan tempatan

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengadakan lawatan kerja ke Shanghai dan Hangzhou, China bermula 22 hingga 24 September lalu/Foto Afiq Hambali (Pejabat Perdana Menteri Malaysia)

KUALA LUMPUR, 25 September – Potensi pelaburan lebih RM28 bilion hasil lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China dilihat membuka ruang untuk memperkukuh sektor berteknologi tinggi dan menjana nilai ekonomi kepada Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan perlu percepat proses kelulusan, penyediaan tapak, bekalan tenaga, infrastruktur dan pembangunan modal insan untuk merealisasikan pelaburan.
  • Pelaburan berpotensi menjana pekerjaan berkualiti, meningkatkan eksport serta memperkukuh teknologi dan rantaian bekalan tempatan.
  • Peluang besar bagi PMKS melalui penyertaan vendor, program pembangunan pembekal, latihan, persijilan serta pemindahan teknologi dan kemahiran.

Pengarah Program MBA Putra Business School, Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kelancaran proses kelulusan, penyediaan tapak, bekalan tenaga, infrastruktur dan modal insan penting bagi menyokong pelaksanaan projek pelaburan berkenaan.

“Yang lebih penting sekarang adalah betapa cepatnya kita mahu menukarkan potensi pelaburan ini kepada projek yang sebenar. Oleh itu, saya melihat kerajaan perlu memastikan proses kelulusan, tapak, tenaga yang dibekalkan, infrastruktur dan juga modal insan kepada pelabur ini supaya projek dapat dilaksanakan dengan cepat,” katanya kepada RTM.

Menurut Prof. Dr. Ahmed Razman, impak pelaburan berkenaan bukan sahaja dapat dilihat melalui nilai pelaburan tetapi juga menerusi pewujudan pekerjaan berkualiti, peningkatan eksport serta pengukuhan teknologi dan rantaian bekalan tempatan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kemasukan pelaburan berskala besar turut membuka peluang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan untuk memperkukuh kedudukan dalam rantaian bekalan industri.

“Penyertaan vendor tempatan, pembangunan pembekal serta pemindahan teknologi dan kemahiran merupakan antara aspek yang berupaya menyokong penglibatan industri tempatan dalam aktiviti ekonomi bernilai tinggi.

“Setiap pelaburan yang berskala besar ini perlu mempunyai mekanisme jaringan tempatan yang jelas. Contohnya perlu ada sasaran, perolehan yang ditawarkan kepada vendor tempatan dan perlu ada program pembangunan pembekal, latihan, persijilan dan juga yang lebih penting pemindahan teknologi dan kemahiran kepada industri tempatan,” ujarnya lagi.

Malaysia meraih potensi pelaburan lebih RM28 bilion menerusi perbincangan meja bulat bersama 21 syarikat serta pertemuan dengan lima syarikat gergasi industri China sepanjang lawatan kerja Perdana Menteri ke Shanghai dan Hangzhou selama tiga hari bermula 22 September lepas.

Potensi itu meliputi sektor strategik termasuk semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), robotik, kenderaan elektrik (EV), bioteknologi dan pembuatan termaju.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.