44 ekor lembu seludup dirampas, dua lelaki ditahan

Antara 21 ekor lembu yang diikat pada pokok/Foto PGA Briged Tenggara

KOTA BHARU, 25 September – Sebanyak 44 ekor lembu bernilai RM211,200 dirampas dalam Op Taring Wawasan Kelantan di Kampung Bendang Besar Jedok, Tanah Merah, malam semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • PGA menyerbu lokasi, menahan dua lelaki tempatan dalam sebuah lori; pemeriksaan menemui lembu di lori, belakang rumah dan dalam van.
  • Kedua-dua suspek dakwa bekerja untuk seorang lelaki warga Thailand dan menerima upah RM1,300 untuk menghantar lembu ke Negeri Sembilan.
  • Suspek gagal kemukakan dokumen pemilikan atau pemindahan; kes diserahkan kepada JKDM Bukit Bunga dan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, rampasan kira-kira pukul 9 malam itu dilakukan selepas mengesan beberapa lelaki mengheret lembu dari arah Sungai Golok menuju ke kawasan belakang sebuah rumah.

Pasukan PGA kemudian menyerbu kawasan itu sebelum menahan dua lelaki tempatan berusia 20 tahun yang berada di dalam sebuah lori.

“Menyedari kehadiran pasukan serbuan, beberapa orang lelaki yang berada di bahagian belakang lori terbabit bertindak melarikan diri ke kawasan semak berhampiran.

“Pemeriksaan di bahagian belakang lori menemukan sejumlah lembu, manakala pemeriksaan di kawasan belakang rumah berkenaan menemukan 21 ekor lembu yang diikat pada pokok.

“Pemeriksaan lanjut di dalam sebuah van turut menemukan seekor lembu, menjadikan keseluruhan 44 ekor lembu dirampas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Antara 21 ekor lembu yang diikat pada pokok/Foto PGA Briged Tenggara

Radzi berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mendakwa bekerja dengan seorang lelaki warga Thailand dan menerima upah RM1,300 untuk menghantar lembu berkenaan ke Negeri Sembilan.

Kedua-dua suspek gagal mengemukakan dokumen berkaitan pemilikan dan pemindahan ternakan berkenaan, yang dipercayai diseludup masuk dari Thailand.

Kedua-dua suspek bersama barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Bukit Bunga, Tanah Merah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.