
MADRID, 23 September – Presiden La Liga, Javier Tebas mengkritik dakwaan kononnya wujud ‘konspirasi’ pengadilan terhadap Real Madrid susulan kekalahan pasukan itu ketika menentang Atletico Madrid.
- Javier Tebas mengkritik dakwaan konspirasi terhadap pengadil yang disokong naratif Real Madrid dan saluran kelab.
- Tebas menyifatkan tuduhan pengadil menjejaskan perniagaan Real sebagai penghinaan kepada kelab lain, penyokong dan sejarah mereka.
- Jawatankuasa teknikal pengadil mengaku ada kesilapan jelas; VAR sepatutnya digunakan untuk insiden yang dibangkitkan Mourinho.
- Real Madrid membalas, menyifatkan kenyataan Tebas tidak boleh diterima dan menuntut pemimpin liga yang lebih neutral serta profesional.
Jurulatih Real, Jose Mourinho, membawa dua cetakan tangkap layar yang menunjukkan terjahan pemain Atletico yang disifatkannya boleh dikenakan kad merah, pada sidang media selepas kekalahan 1-2 pada Ahad lepas.
Tebas kemudian membalas satu artikel yang memihak kepada Real Madrid di media sosial, menerusi ulasan panjang terhadap dakwaan berlaku ‘konspirasi’ terhadap juara Eropah sebanyak 15 kali itu.
“Mereka kembali dengan jurucakap dan saluran televisyen (kelab) yang membentuk naratif yang sama, iaitu konspirasi yang tidak pernah berakhir,” kata Tebas yang sering bercanggah pendapat dengan Real dan presiden kelab itu, Forentino Perez.
“Artikel ini menyimpang lebih jauh, apabila mendakwa pengadil menjejaskan ‘perniagaan yang menjadi sumber pendapatan mereka’.
“Apa sebenarnya yang mereka mahu? Pengadilan berdasarkan hasil, jumlah penonton atau lencana? (Mungkin) begitulah caranya memahami keadilan dalam persaingan (bagi mereka),” katanya.
Tebas mengakui Real Madrid penting kepada La Liga, namun menyifatkan dakwaan bahawa ‘La Liga tidak bernilai’ tanpa kelab itu sebagai penghinaan terhadap kelab lain, penyokong dan sejarah mereka.
“Pertandingan ini bukan milik sesiapa,” tegasnya.
Real Madrid kemudian membalas kenyataan Tebas pada Selasa dengan menyifatkannya sebagai ‘tidak boleh diterima’.
Kelab itu dalam kenyataan menegaskan pihaknya menganggap perbuatan presiden La Liga menggunakan kedudukan rasminya untuk terus memburuk-burukkan dan menyerang Real Madrid dalam setiap kenyataan awamnya melampau batas.
“Berikutan tindakan tidak wajar yang berterusan ini, kami berpendapat bola sepak profesional di Sepanyol memerlukan segera seorang pemimpin yang mampu mengurus dan mengembangkan potensinya sepenuhnya, dengan tanggungjawab asas untuk bersikap neutral,” menurut kenyataan itu.
Pada Selasa, jawatankuasa teknikal pengadil mengakui berlaku kesilapan yang jelas dan nyata berhubung salah satu kesalahan yang dibangkitkan Mourinho, dan mengakui video bantuan pengadil (VAR) sepatutnya digunakan.
Mourinho kembali mengendalikan Real Madrid untuk kali kedua pada musim ini, dengan tugas menamatkan tempoh dua tahun tanpa trofi utama.
Real memulakan musim ini dengan prestasi tidak konsisten dan kini ketinggalan enam mata di belakang juara serta pendahulu liga, Barcelona. – AFP