
NAGOYA, 28 September – Skuad hoki lelaki negara, Speedy Tigers tampil garang untuk membelasah China 5-0 sekali gus muncul juara Pool B dan mengesahkan tiket ke separuh akhir Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Stadium Gifu Prefectural Green, hari ini.
- Fitri Saari (min 13), Akhimullah (22, penalti sudut), Ashran Hamsani (24), Faizal Saari (40) dan Azrai Aizad (59) menjaringkan gol.
- Perlawanan dihentikan dengan baki satu minit selepas hujan lebat menyebabkan padang dinaiki air dan bola tidak dapat bergerak.
- Baki satu minit akan disambung mengikut peraturan FIH; lawan separuh akhir ditentukan aksi Jepun menentang Korea Selatan.
Pada perlawanan berkenaan, Malaysia membuka tirai jaringan pada minit ke-13 menerusi Fitri Saari sebelum Akhimullah Anuar Esook menggandakan kelebihan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-22.
Selang dua minit kemudian, Ashran Hamsani terus menghukum pertahanan China menerusi gol padang untuk meletakkan Malaysia selesa 3-0.
Faizal Saari kemudian menambah satu lagi gol pada minit ke-40 sebelum Azrai Aizad Abu Kamal melengkapkan pesta gol Speedy Tigers pada minit ke-59.
Perlawanan bagaimana pun terpaksa dihentikan ketika berbaki satu minit selepas hujan lebat menyebabkan permukaan padang dinaiki air dan bola tidak dapat bergerak seperti biasa.
Baki satu minit permainan akan disambung mengikut peraturan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).
Namun keputusan 5-0 kekal dan sudah cukup untuk mengesahkan Malaysia sebagai juara Pool B.
Sebagai juara kumpulan, Malaysia akan beraksi pada separuh akhir Khamis ini jam 7.00 malam.
Lawan Speedy Tigers akan ditentukan menerusi aksi Jepun menentang Korea Selatan jam 4 petang ini bagi menentukan kedudukan akhir Pool A.
Pemenang perlawanan itu akan muncul juara Pool A, manakala pasukan yang tewas akan berdepan Malaysia dalam aksi separuh akhir.