
KUALA LUMPUR, 28 September – Kementerian Komunikasi mahu sektor telekomunikasi, penyiaran serta pos dan kurier mempercepatkan peralihan kepada amalan penggunaan tenaga yang lebih lestari, selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
- Pembangunan sektor harus utamakan impak alam sekitar, bukan hanya pendapatan dan keuntungan.
- Kecekapan dan kemampanan tenaga penting, terutama untuk memastikan operasi kira-kira 60,000 menara, termasuk yang bergantung pada janakuasa diesel.
- LESTARI oleh MCMC tetapkan hala tuju kelestarian sehingga 2030 dan menyokong aspirasi pelepasan rumah kaca sifar bersih menjelang 2050.
- Matlamat termasuk pengurusan lestari 15 juta peranti, pengurangan sisa elektronik, dan manfaat sosial kepada lima juta rakyat.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pembangunan sektor berkenaan tidak seharusnya hanya memberi tumpuan kepada pendapatan dan keuntungan, sebaliknya turut mengambil kira kesan aktiviti serta operasi industri terhadap alam sekitar.
“Penggunaan tenaga dalam sektor pos dan kurier, penyiaran serta telekomunikasi adalah signifikan. Jadi, kecekapan dan kemampanan tenaga perlu diberi perhatian serius.
“Kita mahu mempercepatkan peralihan tenaga selaras dengan NETR dan usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak. Marilah kita berkongsi pandangan dan mencari penyelesaian bersama demi pembangunan negara yang lebih mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran LESTARI: Rangka Kerja dan Pelan Hala Tuju Kelestarian 2030 (Sustainability Framework and Roadmap 2030 – SFR2030), di Kuala Lumpur, hari ini.
LESTARI merupakan rangka kerja strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang menetapkan hala tuju kelestarian bagi sektor telekomunikasi, penyiaran serta pos dan kurier sehingga 2030.
Menurut Datuk Seri Fahmi, aspek penggunaan tenaga dalam sektor telekomunikasi perlu diberi perhatian, termasuk bagi memastikan kira-kira 60,000 menara telekomunikasi di seluruh negara terus beroperasi.
Katanya, perkara itu turut melibatkan menara di kawasan pedalaman yang sebahagiannya tidak mempunyai akses kepada grid elektrik dan masih bergantung kepada janakuasa diesel.
Menerusi LESTARI, MCMC bersama-sama pemain industri akan menggerakkan pelbagai inisiatif berimpak kepada rakyat dan alam sekitar, termasuk menyokong aspirasi mencapai pelepasan gas rumah kaca sifar bersih menjelang 2050.
Inisiatif itu turut merangkumi usaha memperkukuh ekonomi kitaran melalui pengurangan sisa elektronik serta memanjangkan jangka hayat peranti.
Menjelang 2030, LESTARI menyasarkan sebanyak 15 juta peranti diurus secara lestari menerusi penggunaan semula, naik taraf, penggantian kepada teknologi yang lebih cekap serta kitar semula secara bertanggungjawab.
Rangka kerja itu turut disasarkan memberi manfaat kepada lima juta rakyat menerusi pelaksanaan pelbagai program berimpak sosial.
LESTARI dibangunkan menerusi proses libat urus yang melibatkan 116 peserta daripada 47 organisasi, selain mendapat sokongan 15 organisasi yang menandatangani ikrar sokongan kepada LESTARI dan Net Zero & Circularity Alliance (NZCA).