
PUTRAJAYA, 28 September – Rancangan Pendigitalan Sektor Awam (RPSA) 2026-2030 bakal menjadi rujukan utama dalam merancang pelaksanaan inisiatif pendigitalan serta memperkukuh ekosistem digital kerajaan bagi tempoh lima tahun akan datang.
- RPSA sebagai dokumen kerangka kerja transformasi digital mengandungi lima teras, 18 strategi, 44 program dan 44 sasaran.
- Pelaksanaan menerapkan pendekatan Enterprise Architecture untuk pendigitalan bersepadu, holistik dan berorientasikan hasil.
- Penekanan pada penyelarasan data, tatakelola dan infrastruktur bagi pemanfaatan teknologi dan kecerdasan buatan secara bersepadu.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Shamsul Azri Abu Bakar berkata, RPSA merupakan dokumen kerangka kerja dan panduan strategik bagi transformasi digital sektor awam yang merangkumi lima teras strategik, 18 strategi, 44 program dan 44 sasaran.
Beliau berkata, pelaksanaan RPSA mengaplikasikan pendekatan Enterprise Architecture (EA) bagi memastikan agenda pendigitalan sektor awam dilaksanakan secara bersepadu, holistik dan berorientasikan hasil.
“RPSA turut memberi penekanan khusus kepada pemantapan keselarian proses melalui EA bagi perkhidmatan merentas agensi Persekutuan, Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan menjelang 2030.
“Ini termasuk penyeragaman proses bagi 19 kluster perkhidmatan Persekutuan, lapan kluster perkhidmatan Negeri dan 13 kluster perkhidmatan PBT,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Simposium Enterprise Architecture (EA) 2026 dan Peluncuran Rancangan Pendigitalan Sektor Awam (RPSA) 2026-2030 di Putrajaya, hari ini.
Shamsul Azri berkata, RPSA turut menumpukan kepada inisiatif penyelarasan data, tatakelola dan infrastruktur bagi memastikan teknologi serta kecerdasan buatan (AI) dapat dimanfaatkan secara bersepadu.
Beliau berkata, surat pemakaian RPSA 2026-2030 juga telah ditandatangani untuk dipanjangkan kepada seluruh kementerian, jabatan Persekutuan, kerajaan negeri, badan berkanun Persekutuan dan PBT.
Mengulas mengenai simposium berkenaan, beliau berkata penganjurannya bertujuan memperkasa kerjasama merentas sektor dalam mempercepat agenda transformasi digital negara.
Katanya, penglibatan dan perkongsian pengalaman daripada sektor awam, industri dan universiti akan memberi ruang kepada pemegang taruh mengenal pasti cabaran serta meneroka penyelesaian digital secara bersama.