
SINGAPURA, 28 September – Menteri Kanan Singapura, Lee Hsien Loong mengenang Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali sebagai seorang yang mesra, berbudi bahasa, ceria serta memiliki sifat humor yang menyenangkan.
- Lee mengucapkan takziah kepada Tun Dr Mahathir dan keluarga.
- Mendedikasikan sebahagian besar hidupnya untuk meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan wanita, kanak-kanak dan keluarga.
- Ho Ching dan saya akan sentiasa mengenang Tun Dr Siti Hasmah dengan penuh kasih.
- Beliau terus bermain biola untuk kebajikan hingga usia 90-an dan meninggal dunia di IJN pada usia 100.
Dalam ucapan takziahnya kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan keluarga, Lee berkata, Allahyarham mendedikasikan sebahagian besar hidupnya untuk meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia khususnya wanita, kanak-kanak dan keluarga menerusi perkhidmatannya sebagai doktor.
“Ho Ching dan saya akan sentiasa mengenang Tun Dr Siti Hasmah dengan penuh kasih,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Lee turut mengenang perbualannya bersama Dr Siti Hasmah mengenai minat Allahyarham terhadap muzik dan biola.
“Saya masih ingat berbual dengan Tun Dr Siti Hasmah mengenai persembahan biolanya di Istana Budaya, ketika beliau bermain untuk tujuan kebajikan.
“Beliau terus membuat persembahan sehingga usia 90-an, termasuk bagi mengumpul dana untuk kebajikan. Semangat hidup beliau amat mengagumkan,” kata beliau.
Tun Dr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada pagi Isnin pada usia 100 tahun. – BERNAMA