Liga Juara Eropah Wanita : Man City bangkit, ikat Bayern

Penjaga gol Bayern Munich, Ena Mahmutovic menyelamatkan percubaan gol pada perlawanan pembukaan Liga Juara Eropah Wanita menentang Manchester City – Foto AFP

PARIS, 23 September – Manchester City bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat Bayern Munich, 2-2 pada Selasa, dalam aksi pembukaan Liga Juara Eropah Wanita.

RINGKASAN BERITA AI
  • Giulia Gwinn dan gol sendiri Kerstin Casparij memberi Bayern kedudukan selesa dalam 30 minit pertama.
  • Beth Mead merapatkan jurang pada masa kecederaan separuh masa pertama.
  • Carlotta Wamser menjaringkan gol empat minit sebelum tamat untuk memastikan kedua-dua pasukan berkongsi mata.

Tuan rumah mendahului 2-0 hasil jaringan awal Giulia Gwinn dan gol sendiri Kerstin Casparij dalam tempoh 30 minit pertama.

Beth Mead kemudian merapatkan jurang buat juara Liga Super Wanita itu pada masa kecederaan separuh masa pertama.

City hampir terpaksa memulakan kempen dengan kekalahan apabila sepakan penalti Khadija Shaw dapat diselamatkan penjaga gol Bayern, Ena Mahmutovic, pada separuh masa kedua.

Namun, penyerang Jerman, Carlotta Wamser, muncul dengan jaringan empat minit sebelum tamat perlawanan untuk memastikan kedua-dua pasukan berkongsi mata di Bavaria.

Dalam satu lagi aksi, Inter Milan menewaskan kelab Hacken dari Sweden 1-0, hasil jaringan Haley Bugeja seawal minit kelima.

Jaringan itu sudah memadai untuk memastikan tuan rumah meraih tiga mata penuh.

Sementara itu, Arsenal, juara 2025, memulakan kempen mempertahankan gelaran Eropah itu dengan kemenangan tipis.

Skuad bimbingan Renee Slegers terpaksa menunggu sepakan penalti pada masa kecederaan yang disempurnakan pemain antarabangsa Sepanyol, Caldentey, untuk menundukkan HB Koge dari Denmark, 1-0 di tempat sendiri.

The Gunners hampir terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri tanpa gol sebelum pemain baharu, Selina Cerci, dijatuhkan dalam kawasan penalti susulan terjahan Yukina Sakabe pada minit ke-92.

Perlawanan lain pula menyaksikan sepakan penalti Sakina Karchaoui dalam tempoh 20 minit terakhir membantu Paris Saint-Germain (PSG) mengikat Real Madrid, 1-1 di Estadio Alfredo di Stefano.

Real Madrid terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit kedua menerusi Felicia Schroeder.

Dalam pada itu, jaringan berganda Marit Bratberg Lund pada sebelum dan selepas rehat membantu Benfica mengalahkan Juventus 2-1, biarpun tuan rumah memperoleh gol sagu hati menerusi Alba Redondo pada minit-minit akhir.

Juara bertahan, Barcelona, akan memulakan kempen Liga Juara Eropah dalam era selepas Alexia Putellas pada Rabu, apabila melayan kunjungan Paris FC – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.