MCMC, PDRM perhebat usaha banteras jenayah seksual kanak-kanak dalam talian

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil / Foto RTM

PUTRAJAYA, 24 September – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memperhebat usaha membanteras kegiatan jenayah seksual terhadap kanak-kanak di ruang digital.

RINGKASAN BERITA AI
  • MCMC membantu Jabatan Siasatan Jenayah PDRM mengesan penyalahgunaan rangkaian dan kemudahan komunikasi untuk tujuan jenayah.
  • MCMC melalui Akta Keselamatan Dalam Talian menegaskan platform media sosial perlu memastikan persekitaran selamat untuk wanita dan kanak-kanak.
  • Usaha bersepadu antara agensi dan penyedia platform penting untuk mengesan, menurunkan kandungan berbahaya serta melaksanakan tindakan penguatkuasaan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, MCMC berperanan membantu khususnya Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM mengesan pihak yang menyalahgunakan rangkaian dan kemudahan komunikasi untuk melakukan jenayah.

Beliau berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang menjadikan wanita dan kanak-kanak sebagai mangsa.

“Selain menjalankan tugasan agensi dari aspek teknikal dan forensik, MCMC juga melalui Akta Keselamatan Dalam Talian memberi penegasan kepada platform-platform media sosial untuk memastikan persekitaran platform itu sentiasa selamat.

“Terutamanya golongan wanita dan kanak-kanak bawah usia 18 tahun yang tidak dibenarkan membuka akaun media sosial. Ini bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa pedofil seperti yang telah ditangkap,” katanya.

Tambah beliau, usaha bersepadu antara MCMC, PDRM dan penyedia platform digital penting, bagi memastikan kandungan berbahaya dapat dikesan, diturunkan dan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap pihak terbabit.

Datuk Seri Fahmi ditemui selepas menghadiri Majlis Jasamu Dikenang Kementerian Komunikasi di sini hari ini, yang menyaksikan seramai 157 pegawai bersara menamatkan perkhidmatan.

Pada Selasa lalu, Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar memaklumkan lapan remaja antara 53 individu ditahan dalam Op Pedo Bersepadu PDRM-MCMC 3.0 yang dilaksanakan di seluruh negara dari 14 hingga 16 September.

Operasi turut menemukan 540,127 fail bahan penderaan seksual kanak-kanak dan 113,066 fail pornografi dewasa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.