Kursus asas haji 1448H bermula esok, persediaan bakal haji diperkukuh

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 24 September – Persediaan awal bakal haji bagi musim 1448H/2027M diperkukuh menerusi Kursus Asas Haji (KAH) yang akan bermula esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • 12 siri Kursus Asas Haji disediakan di 200 masjid seluruh negara sebagai panduan awal sebelum menunaikan haji.
  • TH menggalakkan penyertaan serius dan konsisten kerana modul KAH menjadi asas kepada Kursus Intensif dan Kursus Perdana Haji.
  • Jadual dan maklumat kursus boleh disemak melalui aplikasi THiJARI, laman web rasmi TH atau pejabat TH berhampiran.
  • Bahan pembelajaran tersedia di e-Bimbingan Haji; TH ingatkan persediaan istito'ah termasuk kesihatan, simpanan dan kemas kini maklumat peribadi.

Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi kenyataan memaklumkan, sebanyak 12 siri kursus di 200 masjid seluruh negara disediakan sebagai panduan awal sebelum bakal jemaah menunaikan rukun Islam kelima itu di tanah suci.

“TH menggalakkan penyertaan secara serius dan konsisten kerana modul KAH menjadi asas kepada Kursus Intensif Haji dan Kursus Perdana Haji,” menurut TH.

Jadual dan maklumat lanjut mengenai KAH boleh disemak menerusi aplikasi THiJARI atau laman web rasmi TH atau pejabat TH berhampiran.

Bakal jemaah dan orang awam boleh mendapatkan bahan pembelajaran secara dalam talian menerusi platform e-Bimbingan Haji TH.

Sementara itu, TH turut mengingatkan supaya bakal haji membuat persediaan secara menyeluruh selaras dengan konsep istito’ah.

“Ini termasuk menjaga kesihatan dan kecergasan, meningkatkan simpanan secara konsisten, serta memastikan maklumat peribadi sentiasa dikemas kini,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.