
PUTRAJAYA, 24 September – Golongan pesara antara kumpulan yang kerap menjadi sasaran penipuan dalam talian, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
- Pesara 55 boleh mengeluarkan KWSP; pesara 60 menerima gratuiti.
- Menteri menasihatkan pesara supaya berhati-hati menguruskan wang persaraan.
- Perkukuhkan jaringan pesara Kementerian untuk menyalurkan maklumat kerajaan yang tepat.
- Pesara mempunyai jaringan luas dan boleh membantu menangkis penyebaran berita palsu.
Beliau mendedahkan, pesara kerajaan dan swasta yang mencapai usia tertentu menjadi sasaran scammer kerana mempunyai akses kepada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau menerima bayaran gratuiti.
“Pesara kerajaan ataupun swasta yang sudah mencecah 55 tahun dan boleh mengeluarkan KWSP, serta mereka yang mencecah 60 tahun dan menerima gratuiti, dilihat sebagai kumpulan yang paling mudah untuk didekati, diyakini dan diperdaya.
“Jadi, tolong berhati-hati dengan duit yang ada,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Jasamu Dikenang di Kementerian Komunikasi hari ini.
Majlis itu turut meraikan 157 pegawai yang menamatkan perkhidmatan mereka.
Dalam pada itu, Datuk Seri Fahmi menggesa supaya jaringan pesara Kementerian Komunikasi diperkukuh bagi membantu menyalurkan maklumat kerajaan yang tepat, termasuk berkaitan pengumuman bantuan kerajaan.
Katanya, golongan pesara mempunyai jaringan yang luas dalam komuniti dan boleh membantu menangkis penyebaran berita palsu serta maklumat tidak benar berkaitan bantuan kerajaan.
“Golongan pesara kerajaan adalah kumpulan yang sangat penting dan berpengaruh serta mempunyai jaringan maklumat yang luas dalam komuniti dan negara.
“Maka, kita perlu memantapkan lagi jaringan ini dengan memastikan maklumat yang tepat sampai dan dibantu untuk disebarkan,” katanya.