Pihak sekolah diingatkan tidak lindungi kes buli demi jaga reputasi

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 28 September – Pengurusan sekolah diingatkan supaya tidak menyembunyikan sebarang kes buli demi menjaga reputasi kerana tindakan tersebut boleh merisikokan kepada tuntutan undang-undang sivil daripada keluarga mangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa buli berhak menuntut pampasan dan ganti rugi atas kecederaan, kerugian atau kematian menurut undang-undang sivil.
  • Peruntukan undang-undang berkaitan buli perlu dikaji semula untuk membolehkan hukuman lebih berat terhadap pesalah bawah umur dalam kes serius.
  • Wujudkan mekanisme aduan buli yang mudah diakses, menjamin kerahsiaan mangsa dan mematuhi SOP penyiasatan yang telus.
  • Guru perlu bincang dan terangkan mesej filem bertema samseng sekolah supaya tidak dijadikan inspirasi untuk membuli rakan sebaya.

Ketua Pusat Advokasi dan Resolusi Pertikaian, Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mimi Sintia Mohd Bajury berkata, di bawah undang-undang sivil, mangsa buli mempunyai hak untuk menuntut pampasan dan ganti rugi atas kecederaan, kerugian atau kematian.

“Pihak sekolah dinasihatkan agar lebih berhati-hati dengan sebarang tindakan.

“Kita tidak mahu dikenakan saman sivil dan tidak mahu mencemarkan reputasi nama baik hanya kerana mahu melindungi seorang pelajar yang nakal,” tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau turut berpandangan peruntukan undang-undang sedia ada berkaitan buli perlu dikaji semula bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan ke atas pesalah bawah umur.

“Sudah tentu dalam undang-undang ada peruntukan yang menyatakan kanak-kanak di bawah 18 tahun, jika boleh, jangan dihantar ke penjara.

“Namun, mungkin sekarang tiba masanya untuk kita mengkaji semula perkara itu. Jika kesalahan yang dilakukan berat dan serius, mungkin kita harus melaksanakan hukuman yang lebih berat,” katanya lagi.

Selain aspek perundangan, Mimi Sintia turut mencadangkan supaya mekanisme aduan berhubung salah laku buli di sekolah diwujudkan dengan pelaksanaannya yang mudah diakses, menjamin kerahsiaan mangsa dan mematuhi prosedur operasi standard penyiasatan yang telus.

Mengenai penerbitan filem-filem bertemakan samseng sekolah, beliau berkata segelintir pelajar tidak mengambil pengajaran sebenar yang ingin disampaikan dalam filem berkenaan, sebaliknya beranggapan kegiatan buli itu sebagai ‘hebat’.

“Guru-guru disarankan berbincang dan memberikan penerangan mengenai filem berkenaan yang sepatutnya menjadi sempadan (pengajaran) untuk menunjukkan betapa kerasnya hidup di sebalik sekolah pemulihan bukannya dijadikan inspirasi membuli rakan sebaya,” katanya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.