Datuk Seri Azalina zahir ucapan takziah atas pemergian Tun Dr Siti Hasmah

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 September – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tun Dr Siti Hasmah kehilangan tokoh wanita dihormati, banyak berjasa dalam perubatan dan kesihatan awam.
  • Menjadi teladan kepada generasi wanita melalui ketabahan, kesederhanaan dan pengabdian kepada keluarga, masyarakat, negara.
  • Dikenang sebagai isteri pendamping teguh kepada Tun Dr Mahathir, jasa serta teladan beliau menjadi inspirasi generasi akan datang.

Datuk Seri Azalina menyifatkan pemergian Tun Dr Siti Hasmah sebagai kehilangan seorang tokoh wanita yang amat dihormati serta banyak menabur jasa dalam bidang perubatan dan kesihatan awam.

Menurutnya, Allahyarham turut menjadi teladan kepada generasi wanita Malaysia menerusi ketabahan, kesederhanaan serta pengabdiannya kepada keluarga, masyarakat dan negara.

“Tun Dr Siti Hasmah melambangkan kekuatan seorang wanita yang dalam kesederhanaannya ada keteguhan dan dalam kelembutannya ada kekuatan.

“Jasa dan teladan Allahyarham akan terus dikenang dan menjadi inspirasi kepada generasi akan datang,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Ahli Parlimen Pengerang itu turut menyifatkan Allahyarham sebagai isteri dan pendamping yang teguh berdiri bersama suaminya, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam mengharungi perjalanan kehidupan serta khidmat kepada negara.

Beliau berkata, ungkapan bahawa di sebalik kejayaan seorang lelaki terdapat seorang isteri yang mempercayainya, setia berdiri di sisinya dan menjadi sumber kekuatan, amat tepat menggambarkan sosok Allahyarham.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada Tun Dr Mahathir, seluruh ahli keluarga serta semua yang mengenali dan menyayangi Allahyarhamah.

“Semoga Allah SWT mengampuni segala kekhilafan Allahyarham, melimpahkan rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh”, katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.