PM: Negara kehilangan sosok keibuan dekat di hati rakyat

Antara tiga keping gambar yang dimuat naik dalam hantaran Facebook Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, 28 September – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali sebagai kehilangan sosok keibuan yang dekat di hati rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri, isteri dan keluarga berdukacita atas pemergian Allahyarham; mereka mengeluarkan hantaran ucapan takziah di media sosial.
  • Hantaran Facebook memuat naik tiga gambar kenangan, termasuk foto menyentuh Allahyarham memeluk Dr Wan Azizah di dalam lif.
  • Perdana Menteri mendoakan agar Allahyarham diampuni, mengenang jasa dan kebaikan serta mengucapkan takziah kepada keluarga, khususnya Tun Dr Mahathir.

Menerusi hantaran di media sosial, Datuk Seri Anwar berkata beliau dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta keluarga berdukacita menerima berita pemergian tokoh wanita negara itu pagi ini.

“Kami mengenali Almarhumah sebagai Kak Hasmah, seorang yang lembut tutur katanya, namun tabah dan kuat jiwanya, malah sentiasa mengambil berat tentang orang di sekelilingnya dengan kasih sayang seorang ibu,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Hantaran Facebook Perdana Menteri turut memuat naik tiga keping gambar kenangan bersama Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Foto dirakam pada Jun 2018, ketika majlis makan malam sempena Aidilfitri dan berbuka puasa yang diadakan di kediaman Tun Dr Mahathir

Antara gambar yang paling menyentuh perhatian ialah foto Allahyarham memeluk Dr Wan Azizah di dalam sebuah lif, menggambarkan hubungan mesra dan keakraban antara kedua-dua tokoh wanita berkenaan.

Tambah beliau, negara hari ini kehilangan sosok keibuan yang dekat di hati rakyat, selain akan mengenang Allahyarham dengan rasa kasih yang mendalam atas segala jasa dan kebaikan yang ditinggalkan.

“Sementalahan, kami akan mengenang Kak Hasmah dengan rasa kasih yang mendalam, bersama segala jasa dan kebaikan yang ditinggalkannya,” katanya.

Beliau dan Dr Wan Azizah turut merakamkan setulus takziah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad serta seluruh keluarga Allahyarham.

Perdana Menteri turut mendoakan agar Allah SWT mengampuni Allahyarham, menerima segala amal baktinya serta mengurniakan ketabahan kepada keluarga yang ditinggalkan.

Tun Dr Siti Hasmah meninggal dunia pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur pada pagi Isnin.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.