ACP Ahmad Azwan Amin Nordin dilantik Ketua Polis Daerah Dang Wangi baharu

Majlis disaksikan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus (tengah)

KUALA LUMPUR, 28 September – Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Ahmad Azwan Amin Nordin dilantik sebagai Ketua Polis Daerah (OCPD) Dang Wangi yang baharu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Beliau sebelum ini Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Penguatkuasaan/Pencegahan/Kepolisan Am) di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman.
  • Ketua Polis Kuala Lumpur menekankan fokus: kebajikan warga, penambahbaikan infrastruktur dan memperkukuh aspek operasi di Dang Wangi.
  • SAC Shaidatul Akmar dilantik Ketua Cawangan Khas Polis Kuala Lumpur, menggantikan ACP Saefuddin @ Mohd Fitri.

Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah Narkotik(Penguatkuasaan/Pencegahan/Kepolisan Am) di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman.

Beliau menggantikan Superintenden Nuzulan Mohd Din yang memangku jawatan tersebut sebelum ini.

Majlis Serah Terima Tugas berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis turut menyaksikan pelantikan Senior Asisten Pesuruhjaya Polis (SAC) Shaidatul Akmar Mohd Noor sebagai Ketua Cawangan Khas Polis Kuala Lumpur yang baharu, menggantikan ACP Saefuddin @ Mohd Fitri Abdul Rahman yang memangku jawatan berkenaan sebelum ini.

Majlis disaksikan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus yang berkata fokus tugasan kepimpinan baharu di Dang Wangi termasuk kebajikan warga pasukan, penambahbaikan infrastruktur serta memperkukuh aspek operasi.

“Ada fokus yang telah kita tetapkan, selari dengan strategi pelan tindakan IPK Kuala Lumpur. Antaranya, memastikan kebajikan, keadaan dalaman yang terbaik, penambahbaikan infra, dan seterusnya memfokuskan kepada operasi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut.

Terdahulu dalam ucapannya, Datuk Fadil Marsus turut menyifatkan Dang Wangi sebagai daerah yang mempunyai cabaran dan keperluan tersendiri berbanding daerah lain di Kuala Lumpur.

“Dang Wangi adalah tempat ikonik yang merupakan salah satu kawasan yang mempunyai cabaran dan keperluan tersendiri. Justeru, kepimpinan yang kukuh, tindakan yang pantas serta kerjasama seluruh warga amat penting bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus berada pada tahap yang terbaik,” katanya.

Dalam majlis sama, Nik Nurulfaza Anura Mohamad Yusof dilantik selaku Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) daerah Dang Wangi yang baharu, menggantikan Inspektor Yusnor Hafizah Kasim.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.