
NILAI, 24 Oktober – Pelbagai inisiatif memperkasa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menerusi Belanjawan MADANI 2027 menerima reaksi positif dalam kalangan pengusaha di Negeri Sembilan.
- Geran padanan sehingga RM5,000 dan pembiayaan mikro RM6.6 bilion memudahkan PMKS mendapatkan pensijilan halal pertama.
- Dana TEKUN RM1.3 bilion dan pembiayaan mikro BSN RM1.7 bilion memudahkan modal, pembelian peralatan serta peningkatan kualiti perkhidmatan.
- Geran Sejahtera MADANI RM200 juta untuk 40,000 wanita membantu usahawan wanita meringankan kos peralatan dan memperluas perniagaan salun Muslimah.
- Peningkatan perolehan kerajaan kepada RM7.5 bilion bagi kontraktor Bumiputera G1 hingga G4 membuka peluang projek, pekerjaan dan persaingan adil.
Pengusaha kedai makan, Rico Rayno Rasman menyifatkan pembiayaan mikro RM6.6 bilion dan geran padanan sehingga RM5,000 bagi PMKS mendapatkan pensijilan halal pertama, membuka prospek baharu dalam industri halal.
“Bagi saya, bantuan ini amat baik, khususnya kepada pengusaha kecil seperti kami. Kos untuk mendapatkan pensijilan halal juga agak tinggi.
“Jadi, dengan adanya geran ini, kami berharap proses mendapatkan sijil halal menjadi lebih mudah, sekali gus membantu kami mengembangkan perniagaan,” katanya.
Sementara itu, Pengusaha Perkhidmatan Cucian Kenderaan, Megat Jaafar Megat Ibrahim berkata dana pembiayaan TEKUN RM1.3 bilion dan pembiayaan mikro BSN RM1.7 bilion memudahkan pengurusan perniagaan PMKS.
“Kami berharap kemudahan pembiayaan ini dapat membantu peniaga kecil menambah modal, membeli peralatan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan.
“Paling penting, proses permohonan perlu dipermudahkan supaya lebih ramai peniaga dapat memanfaatkan kemudahan ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengusaha Salun Muslimah menyambut baik Geran Sejahtera MADANI
berjumlah RM200 juta yang disasarkan kepada 40,000 wanita.
“Sebagai pengusaha salun Muslimah, saya mengalu-alukan inisiatif Belanjawan 2027, khususnya bantuan peralatan dan pembiayaan mikro kepada usahawan wanita.
“Bantuan ini dapat meringankan kos pembelian peralatan, meningkatkan kualiti perkhidmatan serta membantu mengembangkan perniagaan. Saya berharap lebih ramai usahawan wanita dapat memanfaatkan inisiatif ini,” katanya.
Selain itu, peningkatan nilai perolehan kerajaan bagi kontraktor Bumiputera G1 hingga G4 kepada RM7.5 bilion turut disambut baik pemain industri pembinaan.
“Inisiatif ini memberi harapan kepada kontraktor kecil untuk memperoleh lebih banyak peluang melaksanakan projek kerajaan.
“Kami berharap peluang ini dapat diagihkan secara telus dan adil supaya kontraktor tempatan berpeluang bersaing, menjana pendapatan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.