Penggunaan AI dalam pendidikan perlu seiring pembentukan sahsiah pelajar

Timbalan Pengarah Kanan, Kluster Dasar, Kualiti dan Penghasilan, Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dr Zakiah Shafiee

LABUAN, 24 Oktober – Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan perlu diseimbangkan dengan pembentukan sahsiah, nilai dan etika bagi memastikan pembangunan pelajar kekal selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keseimbangan penggunaan AI dengan pembentukan sahsiah, nilai dan etika agar sejajar Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
  • Pembangunan pelajar mesti menyeluruh: aspek jasmani, akademik dan sahsiah supaya penguasaan teknologi tidak mengabaikan nilai dan adab.
  • Penggunaan AI perlu disertai pemahaman etika dan tanggungjawab untuk membentuk pelajar berintegriti dan berfikir matang.
  • Guru perlu selari perkembangan, menguasai AI dan mengguna teknologi bagi meningkatkan pengajaran serta kecemerlangan pelajar dalam semua aspek.

Timbalan Pengarah Kanan, Kluster Dasar, Kualiti dan Penghasilan, Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dr Zakiah Shafiee berkata pihaknya menitikberatkan pembangunan pelajar secara menyeluruh, merangkumi aspek jasmani, akademik dan sahsiah.

Ini bagi memastikan penguasaan teknologi tidak mengabaikan nilai serta adab dalam kehidupan.

Beliau berkata, penggunaan AI perlu disertai pemahaman mengenai etika dan tanggungjawab supaya teknologi berkenaan bukan sahaja membantu meningkatkan pembelajaran, malah membentuk pelajar yang berintegriti dan mampu berfikir secara matang.

“Kita mahu supaya guru kita selari dengan perkembangan semasa dan dapat menguasai AI dan dapat membantu pengajaran pembelajaran mereka dalam bilik darjah khususnya bagi membantu anak-anak kita lebih cemerlang nanti dalam semua aspek bukan sahaja akademik, sahsiah dan juga nilai yang kita harapkan”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Kolokium Penyelidikan Pendidikan Antarabangsa Labuan dengan tema pada tahun ini “Digitalisasi: Pembentukan Karakter dan Kecerdasan Buatan Dalam Pendidikan”.

Kolokium ini disertai lebih 300 guru yang berlangsung selama tiga hari secara hibrid.

Turut hadir sama pada majlis itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan Yahya Ahmad Puteh.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.