
KUALA LUMPUR, 24 Oktober – Cadangan pelepasan cukai bagi langganan kecerdasan buatan (AI) perlu disokong dengan latihan serta pendedahan yang mencukupi bertujuan memastikan teknologi berkenaan dimanfaat secara optimum termasuk oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
- Akses dan dana wajar disediakan agar PMKS dapat mengintegrasi AI dalam operasi, pemasaran dan analisis jualan.
- Penggunaan AI perlu fokus meningkatkan kecekapan serta daya saing perniagaan tempatan.
- Keberkesanan insentif mesti dinilai berdasarkan sumbangan ekonomi dan pembangunan perniagaan.
- Utamakan keselamatan dan privasi: sahkan sumber, elak penipuan manipulasi suara dan video, jangan kongsi data sulit.
Pensyarah Kanan Pusat Teknologi Kecerdasan Buatan (CAIT), Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ts Dr Mohd Nor Akmal Khalid berpendapat penyediaan akses atau dana yang disediakan untuk PMKS berupaya membantu kumpulan sasar mengintegrasikan AI dalam operasi perniagaan, pemasaran, pengurusan dan analisis jualan.
“Menerusi pendekatan menyeluruh itu penting bagi memastikan penggunaan AI bukan sekadar mengikuti perkembangan teknologi, sebaliknya meningkatkan kecekapan serta daya saing perniagaan tempatan.
Beliau yang ditemui selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia (SPM), turut berpandangan insentif berkenaan berpotensi memperluas akses rakyat kepada teknologi AI.
“Langganan AI berupaya boleh membantu rakyat menjana kewangan dengan lebih baik, selain menjadikan teknologi AI antara alat yang dapat dimanfaatkan dalam meningkatkan produktiviti perniagaan.
Beliau bagaimanapun, berpandangan keberkesanan insentif berkenaan perlu dinilai berdasarkan hasil penggunaan AI termasuk sumbangan aktiviti ekonomi dan pembangunan perniagaan.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengabaikan aspek keselamatan dan privasi ketika menggunakan aplikasi AI.
“Pengguna perlu menyemak kesahihan sumber serta memastikan maklumat yang diterima menerusi aplikasi AI disahkan melalui sumber yang boleh dipercayai dan mengelakkan penipuan teknologi AI khususnya manipulasi suara dan video yang sukar dibezakan daripada individu sebenar, termasuk ahli keluarga dan kenalan rapat,”jelasnya.
Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan pengguna agar tidak memasukkan maklumat sulit atau data peribadi ke dalam platform AI tanpa memahami dasar privasi dan cara data berkenaan dikendalikan.