Dua tekong darat terima upah RM200 bagi setiap migran

Lapan migran ditahan PGA kerana disyaki memasuki Malaysia tanpa dokumen sah/Foto PGA Briged Tenggara

KOTA BHARU, 23 Oktober – Dua tekong darat dipercayai menerima upah RM200 bagi setiap migran yang dibawa dari Kelantan ke Kuala Lipis dalam dua kes berasingan di sekitar Melor dan Kok Lanas, di sini, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lelaki tempatan berusia 38 dan 42 tahun ditahan Pasukan Gerakan Am kira-kira pukul 9 pagi.
  • Lapan migran ditahan termasuk warga China dan Myanmar, berumur antara 20 hingga 30 tahun, menggunakan pasport tanpa cop keluar masuk.
  • PGA merampas dua kereta dan empat telefon bimbit bernilai dianggarkan RM134,000; kes diserahkan kepada IPD Kota Bharu untuk siasatan lanjut.

Komander Briged Tenggara, SAC Datuk Ahmad Radzi Husain berkata kedua-dua lelaki tempatan berusia 38 dan 42 tahun itu ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) kira-kira pukul 9 pagi.

Katanya, mereka membawa kesemua migran memasuki negara ini mengikut laluan sah.

“Pemeriksaan menemukan empat migran. Mereka terdiri daripada dua lelaki warga China berusia 25 dan 23 tahun, seorang lelaki dan wanita warga Myanmar masing-masing berusia 20 tahun serta berusia 25 tahun.

“Kes kedua pula membabitkan empat wanita warga Myanmar masing-masing berusia 20 hingga 30 tahun,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dua tekong darat ditahan PGA kerana dipercayai menerima upah RM200 bagi setiap migran/Foto PGA Briged Tenggara

Katanya, semakan mendapati semua migran menggunakan pasport yang tidak mempunyai cop keluar masuk ke Malaysia melalui jalan yang sah.

PGA turut merampas dua kereta dan empat telefon bimbit dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM134,000.

Kes diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 55E dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.