TikTok bayar denda £12.7 juta di UK berhubung isu keselamatan data kanak-kanak

Foto AFP

LONDON, 25 September – Platform media sosial TikTok akan membayar denda sebanyak £12.7 juta (AS$16.8 juta) yang dikenakan oleh badan pengawas data United Kingdom (UK) selepas menggugurkan satu rayuannya, lapor PA Media/dpa.

RINGKASAN BERITA AI
  • ICO mendapati TikTok tidak melakukan cukup untuk elak kanak-kanak bawah umur menggunakan platform dan melindungi penggunaan data mereka.
  • Sehingga 1.75 juta kanak-kanak UK berusia bawah 13 dilaporkan menggunakan TikTok pada 2020, melanggar peraturan umur syarikat.
  • ICO mengeluarkan notis meminta butiran bagaimana TikTok memproses data peribadi remaja 13 hingga 17 dalam sistem pengesyorannya.
  • TikTok berkata dapatan berkaitan Mei 2018 hingga Julai 2020 dan tidak mencerminkan dasar keselamatan belia terkini.

Pejabat Pesuruhjaya Maklumat (ICO) mengenakan denda itu pada 2023 kerana TikTok “tidak berbuat secukupnya” bagi memastikan kanak-kanak bawah umur tidak menggunakan platform berkenaan dan memastikan data mereka digunakan dengan betul.

Pihak berkuasa menganggarkan sehingga 1.75 juta kanak-kanak UK berusia di bawah 13 tahun menggunakan TikTok pada 2020, walaupun ia bertentangan dengan peraturan syarikat bagi kanak-kanak lingkungan usia berkenaan untuk membuat akaun.

TikTok pada mulanya merayu terhadap denda berkenaan tetapi kini telah menggugurkan rayuannya, kata ICO, sekali gus bermakna penalti berkenaan perlu dijelaskan.

ICO juga memaklumkan bahawa TikTok telah menarik balik rayuan terhadap notis maklumat badan pengawas itu yang meminta butiran daripada syarikat berkenaan mengenai bagaimana ia memproses maklumat peribadi remaja berumur 13 hingga 17 tahun dalam sistem pengesyorannya

Rayuan itu sebelum ini menghalang ICO daripada meneruskan siasatan berhubung sistem berkenaan.

Sistem pengesyoran digunakan oleh platform media sosial untuk membuat profil pengguna dan mengesyorkan kandungan berdasarkan aktiviti dalam talian mereka.

Timbalan Pesuruhjaya ICO Emily Keaney berkata: “Bagaimana syarikat mereka bentuk perkhidmatan dalam talian dan menggunakan maklumat peribadi kanak-kanak memberikan impak signifikan kepada pengalaman golongan muda dalam dunia digital.

“Kejayaan tindakan kami terhadap TikTok menunjukkan betapa pentingnya syarikat mempunyai perlindungan yang betul, termasuk menghalang akses oleh kanak-kanak yang belum cukup umur untuk menggunakan perkhidmatan mereka.

“Kami sentiasa jelas bahawa pemprosesan ini bukan untuk tujuan khas, dan susulan keputusan Tribunal Atas, kami menyambut baik tindakan TikTok menarik balik rayuannya.”

Jurucakap TikTok berkata: “Walaupun kami tidak bersetuju dengan keputusan ICO pada 2023, dapatan itu adalah berkaitan tempoh lepas, iaitu Mei 2018 hingga Julai 2020, dan tidak mencerminkan pelbagai langkah serta dasar keselamatan belia yang telah kami laksanakan sejak itu.”- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.