Gaza berdepan krisis ekonomi terburuk dunia – UNCTAD

Foto REUTERS

GENEVA, 25 September – Gaza kini berdepan krisis ekonomi terburuk pernah direkodkan di dunia, menurut agensi pembangunan utama Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

RINGKASAN BERITA AI
  • Sembilan daripada 10 perniagaan musnah; 92 peratus entiti ekonomi di Gaza rosak atau musnah.
  • KDNK per kapita harian turun kepada AS$0.58; harga meningkat 274 peratus berbanding 2022.
  • Aktiviti perindustrian dan pengeluaran pertanian merosot 94 peratus; hanya 1.5 peratus tanah pertanian boleh diakses.
  • Lebih 90 peratus warga kerja menganggur; ratusan ribu pekerjaan musnah dan kebanyakan penduduk kehilangan tempat tinggal.

Pemangku Setiausaha Agung Persidangan Perdagangan dan Pembangunan PBB (UNCTAD), Pedro Manuel Moreno berkata, sembilan daripada 10 perniagaan musnah dan ratusan ribu penduduk kehilangan pekerjaan.

“Keruntuhan ekonomi Gaza merupakan krisis ekonomi paling teruk pernah direkodkan di dunia.

“Ia menghapuskan kemajuan pembangunan selama beberapa dekad dan mencetuskan krisis ekonomi serius kepada penduduknya,” katanya kepada pemberita ketika organisasi itu mengeluarkan laporan terbaharunya.

Laporan itu menyebut, 92 peratus daripada ‘entiti ekonomi’ di Gaza telah rosak atau musnah.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita harian wilayah Palestin itu kini hanya AS$0.58 sehari, manakala harga meningkat 274 peratus berbanding 2022.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, serangan tentera Israel mengorbankan lebih 73,000 orang, serta menyebabkan hampir keseluruhan penduduk kehilangan tempat tinggal serta merosakkan atau memusnahkan sebahagian besar bangunan di wilayah berkenaan.

“Sebelum Oktober 2023, dua daripada tiga penduduk Gaza hidup dalam kemiskinan. Hari ini, semua penduduk Gaza mengalami kemiskinan multidimensi,” kata Penyelaras UNCTAD bagi bantuan kepada Palestin, Mutasim Elagraa.

Menurut beliau, aktiviti perindustrian dan pengeluaran pertanian masing-masing merosot 94 peratus, dengan hanya 1.5 peratus tanah pertanian yang boleh diakses, menyebabkan Gaza bergantung sepenuhnya kepada bantuan makanan kemanusiaan.

Menurut laporan itu, konflik berkenaan memusnahkan ratusan ribu pekerjaan, menyebabkan lebih 90 peratus penduduk Gaza dalam usia bekerja kini menganggur.

Laporan itu turut memperincikan krisis ekonomi dan kewangan di Tebing Barat yang diduduki, termasuk pengurangan akses kepada tanah dan sumber alam akibat perluasan penempatan Israel.

Pihak Berkuasa Palestin telah membuat pinjaman besar daripada bank tempatan, menggunakan dana pencen Palestin dan masih berhutang kepada kontraktor swasta, kata Elagraa.

Wilayah Palestin kini berisiko mengalami keruntuhan sistem perbankan, katanya sambil memberi amaran bahawa kesan politik, sosial dan kemanusiaan sangat besar. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.