
AUSTIN, 26 Oktober- Kimi Antonelli semakin hampir muncul juara dunia Formula Satu (F1) termuda selepas memenangi Grand Prix (GP) Amerika Syarikat, sekali gus hanya memerlukan dua mata lagi untuk mengesahkan gelaran itu pada perlumbaan seterusnya di Mexico.
- Antonelli meraih kemenangan kesembilan musim ini bersama Mercedes di COTA, mengukuhkan kedudukan nombor satu dengan 365 mata.
- Rakan sepasukan George Russell kedua dengan 242 mata, manakala Lewis Hamilton daripada Ferrari mengumpul 241 mata.
- Beliau berpeluang memecahkan rekod Vettel sebagai juara dunia termuda dan menjadi pelumba Itali pertama sejak Alberto Ascari 1953.
- Antonelli memuji pilihan strategi satu hentian pasukan dan berkata pendekatannya tidak akan berubah.
Pelumba Itali berusia 20 tahun itu meraih kemenangan kesembilan musim ini bersama Mercedes di Litar Amerika (COTA) pada Ahad untuk mengukuhkan kedudukan teratas kejuaraan dengan 365 mata.
Rakan sepasukan George Russell berada di tempat kedua dengan 242 mata, manakala juara dunia tujuh kali Lewis Hamilton daripada Ferrari mengumpul 241 mata.
Antonelli berpeluang memecahkan rekod Sebastian Vettel sebagai juara dunia termuda yang memenangi gelaran pertamanya pada usia 23 tahun 133 hari pada 2010.
Beliau juga berpotensi menjadi pelumba Itali pertama menjuarai kejuaraan itu sejak Alberto Ascari pada 1953.
“Cara terbaik, cara yang sempurna, adalah menamatkan perjuangan ini dengan bergaya sebelum menikmati baki musim ini,” kata Antonelli.
Beliau berkata pendekatannya tidak akan berubah walaupun semakin hampir dengan gelaran dunia.
“Saya sedar peluang itu semakin hampir, tetapi pendekatan saya tetap sama. Saya mahu menamatkan musim ini dengan cemerlang supaya dapat memulakan 2027 dengan keyakinan tinggi,” katanya.
Antonelli turut memuji strategi pasukannya yang memilih untuk melakukan satu hentian pit, meskipun beliau pada awalnya tidak pasti sama ada strategi satu atau dua hentian lebih pantas.
Sementara itu, Russell mengakui prestasinya tidak memuaskan selepas menamatkan perlumbaan di tempat kelapan, selain dikenakan penalti lima saat.
“Kelajuan saya hari ini memang teruk. Itulah hakikatnya,” katanya.
Hamilton pula berkata kehilangan masa pada dua fasa awal perlumbaan menjejaskan peluangnya untuk meraih keputusan lebih baik.
“Saya kehilangan banyak mata dalam kira-kira lima perlumbaan terakhir, dan saya rasa ia berpunca daripada tetapan kereta yang tidak tepat,” katanya. -AFP