Penghayatan adab diperkasa, usaha PM dihargai

Pengajian hadis bukan sekadar memperluas pengetahuan agama, sebaliknya disusuli pengamalan nilai serta ajaran yang terkandung di dalamnya

PUTRAJAYA, 20 November – Penghayatan hadis dan sunnah Rasulullah SAW perlu diterjemahkan melalui pembentukan adab serta akhlak dalam kehidupan seharian, sekali gus menjadi asas kepada pembaikan masyarakat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Usaha Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkasa pengajian Islam melalui Majlis Sama’ Hadis 2026 dihargai ulama dan peserta.
  • Majlis menekankan adab ketika berkhidmat dan berinteraksi, memupuk penghormatan kepada ilmuwan, disiplin serta tanggungjawab.
  • Program antarabangsa meneruskan tradisi pengajian berguru, memperluas ilmu hadis dan menyemarakkan pengamalan sunnah dalam masyarakat.

Usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkasa tradisi pengajian Islam menerusi penganjuran Majlis Sama’ Hadis 2026, turut mendapat penghargaan ulama dan peserta.

Al-Musnid Syeikh Abdul Hamid Chin berkata, pengajian hadis bukan sekadar memperluas pengetahuan agama, sebaliknya disusuli pengamalan nilai serta ajaran yang terkandung di dalamnya.

“Pendedahan meluas kepada sunnah Rasulullah SAW mampu menjadi pemangkin pembentukan akhlak serta pengislahan atau pembaikan masyarakat.

“Intipati program seperti ini sebenarnya untuk menghidupkan sunnah-sunnah baginda SAW yang merupakan satu asas dalam agama Islam selepas Al-Quran.”

“Jadi, apabila pendedahan hadis ini meluas dalam kalangan umat, ianya akan menjadi satu pemangkin kepada pengislahan ataupun pembaikan masyarakat dalam mengamalkan agama,”katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menghargai inisiatif Perdana Menteri dalam mendukung penganjuran majlis pengajian hadis bertaraf antarabangsa yang kini memasuki tahun ketiga.

Beliau berharap usaha berkenaan dapat diteruskan bagi memperluas manfaat pengajian hadis, selain menyemarakkan budaya ilmu dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, ahli khidmat program, Nur Muttaqin Ahadun pula berkata, penekanan kepada adab turut diterapkan sepanjang majlis berlangsung, khususnya ketika berkhidmat dan berinteraksi dengan para ulama.

Katanya, pengalaman itu bukan sahaja mendidik peserta menghormati ilmuwan, malah memupuk nilai disiplin dan tanggungjawab yang boleh diamalkan dalam kehidupan bermasyarakat.

“Alhamdulillah, ilmu seperti ini sangat-sangat besar bagi saya dan dapat banyak belajar,”katanya.

Sementara itu bagi peserta, Ahmad Bukhari Shahrom, program berkenaan membuka peluang kepada masyarakat mendalami hadis Rasulullah SAW serta memahami pengajarannya untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.

“Alhamdulillah dalam hadis yang kita baca dan dapat juga kita fahami untuk dijadikan amalan. Contohnya hadis-hadis yang berkaitan dengan amalan seharian kita dapat tahu bahawa amalan-amalan itu semua ada dalam ada dalam kalam Nabi Muhamad SAW,”katanya.

Seorang lagi peserta, Anas Baharin, 24 tahun menyifatkan penganjuran majlis itu sebagai inisiatif penting dalam meneruskan tradisi pengajian hadis secara berguru yang diwarisi daripada ulama terdahulu.

Menurutnya, program berkenaan turut memberi peluang kepada masyarakat memperluas pengetahuan agama melalui pengajian bersama ilmuwan dari dalam dan luar negara.

Majlis Sama’ Jami‘ al-Tirmidhi dan al-Syama’il al-Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya, dari 13 hingga 23 November ini.

Penganjuran edisi ketiga itu meneruskan kesinambungan pengajian Sahih al-Bukhari pada 2024 dan Sahih Muslim pada 2025, dengan penekanan kepada penghayatan sunnah serta pembentukan akhlak masyarakat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.