Serangan Rusia rosakkan dua jambatan di Kiev

Anggota bomba memadamkan kebakaran di bangunan yang rosak di tapak serangan dron Rusia di Kiev/Foto AFP

KIEV, 20 November – Dua jambatan utama di ibu negara Ukraine dilaporkan mengalami kerosakan susulan gelombang serangan peluru berpandu dan dron terbaharu yang dilancarkan Rusia pada awal pagi Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Laluan trafik di Jambatan Podilsko-Voskresensky ditutup sementara selepas mengalami kerosakan, menurut Datuk Bandar Vitali Klitschko.
  • Jambatan Darnytsky dilaporkan rosak, manakala Jambatan Selatan turut terkena bedilan menurut kenyataan pihak berkuasa.
  • Serangan turut menyebabkan kebakaran dan kerosakan bangunan di Kiev serta hospital di Kharkiv; empat cedera dan puluhan tingkap pecah.

Datuk Bandar Kiev Vitali Klitschko memaklumkan laluan trafik di salah satu jambatan berkenaan terpaksa ditutup.

“Akibat serangan balistik ke atas ibu negara, lintasan Jambatan Podilsko-Voskresensky telah mengalami kerosakan. Laluan trafik dari tebing kanan ke tebing kiri di jambatan itu ditutup buat sementara waktu.

“Jambatan Darnytsky turut mengalami kerosakan,” katanya menerusi hantaran di aplikasi Telegram.

Beliau turut mengesahkan Jambatan Selatan (Southern Bridge) terkena bedilan, namun tidak memperincikan tahap kerosakan yang dialami.

Terdahulu, penyiar rasmi Ukraine, Suspilne melaporkan beberapa siri letupan kuat kedengaran di sekitar Kiev pada awal pagi Jumaat, selepas komando tentera udara negara itu mengeluarkan amaran mengenai pergerakan peluru berpandu balistik yang menuju ke arah ibu negara.

Menurut pentadbiran tentera Kiev, serangan berkenaan turut mengakibatkan sebuah bangunan di daerah Obolon dan sebuah lagi bangunan di daerah Podil terbakar.

Sementara itu, di bandar Kharkiv yang terletak di timur laut Ukraine, Datuk Bandar Igor Terekhov memaklumkan serangan dron Rusia telah merosakkan sebuah hospital di bandar berkenaan.

“Empat orang cedera, manakala lebih 50 tingkap pecah akibat impak serangan tersebut selain berlaku kebakaran di sebuah kompleks kediaman di daerah Shevchenkivsky susulan serangan sama,” jelas Terekhov.

Gelombang serangan terbaharu ini dilancarkan selepas Presiden Rusia Vladimir Putin berikrar untuk melakukan serangan balas susulan tindakan Ukraine merosakkan jambatan Crimea pada awal minggu ini.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.