
HANGZHOU, 24 September – Malaysia menyasarkan peluasan pasaran eksport digital ke China, khususnya menerusi penerokaan peluang di bandar peringkat kedua, ketiga dan keempat di republik itu, melalui penyertaan sulung negara pada Pameran Perdagangan Digital Global (GDTE) Ke-5 di Hangzhou.
- MoU MATRADE-ICBC kukuhkan kapasiti eksport PMKS dan permudahkan akses mereka ke pasaran China.
- Malaysia menampilkan 15 pempamer, mengetengahkan perdagangan digital, AI, perkhidmatan awan, penjagaan kesihatan pintar dan e-dagang rentas sempadan.
- Penyertaan mencerminkan aspirasi Malaysia muncul sebagai hab perdagangan digital utama ASEAN serta penghubung strategik antara Asia Tenggara dan China.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Abu Bakar Yusof berkata, penyertaan Malaysia sebagai Negara Tetamu Kehormat membuka ruang kepada syarikat digital dan berasaskan teknologi tempatan untuk meneroka pasaran China yang luas.
“Syarikat digital dan berasaskan teknologi Malaysia mempunyai keupayaan untuk bersaing di peringkat global, dan penyertaan sulung dalam GDTE ini merupakan langkah ke hadapan untuk meneroka ekonomi digital China yang begitu besar,” katanya.
Beliau berkata, penyertaan itu turut selari dengan strategi MATRADE untuk mempelbagaikan pasaran eksport Malaysia di China.
“Ia juga selari dengan strategi eksport MATRADE untuk mempelbagaikan pasaran di China dengan memberi tumpuan kepada bandar peringkat kedua, ketiga dan keempat, selain mempelbagaikan rangkaian produk dengan merangkumi barangan dan penyelesaian berteknologi tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, MATRADE dan Industrial and Commercial Bank of China (ICBC) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kapasiti eksport perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia serta memudahkan akses mereka ke pasaran China.
Kerjasama itu turut merangkumi usaha memperluas akses PMKS kepada platform perdagangan digital rentas sempadan, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan untuk menembusi pasaran China.
Pavilion Malaysia yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menghimpunkan 15 pempamer termasuk empat agensi kerajaan, dengan mengetengahkan keupayaan negara dalam perdagangan digital, kecerdasan buatan (AI), perkhidmatan awan, penjagaan kesihatan pintar dan e-dagang
rentas sempadan.
GDTE Ke-5 berlangsung dari 23 hingga 27 September di Pusat Konvensyen dan Pameran Besar Hangzhou dengan tema “Meeting the AI Future”.
Malaysia dan Hungary merupakan Negara Tetamu Kehormat bersama pada penganjuran kali ini, yang menghimpunkan wakil dari 121 negara dan wilayah serta 29 organisasi antarabangsa.
Penyertaan Malaysia mencerminkan aspirasi negara untuk muncul sebagai hab perdagangan digital utama ASEAN, selain menjadi penghubung strategik antara Asia Tenggara dan China.