Malaysia tekankan pembinaan keamanan sebelum konflik tercetus

Foto RTM

NEW YORK, 25 September – Malaysia mahu usaha pembinaan keamanan dimulakan sebelum konflik tercetus, bukan selepas konflik berakhir.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan pembinaan keamanan yang bermakna dan inklusif melalui diplomasi pencegahan serta mediasi.
  • Memperkukuh kerjasama PBC dengan ECOSOC untuk menyelaras pembangunan, kemanusiaan dan usaha keamanan.
  • Memajukan modal insan dan pembangunan kapasiti bagi memupuk komuniti berdaya tahan dan keamanan lestari.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pembinaan keamanan perlu dilihat sebagai proses berterusan dengan memberi tumpuan kepada masyarakat inklusif, komuniti berdaya tahan dan ekonomi yang stabil.

Dalam ucapan intervensi pada Mesyuarat Menteri-menteri Suruhanjaya Pembinaan Keamanan (PBC) di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), di sini, beliau menggariskan tiga keutamaan Malaysia.

Pertama, pembinaan keamanan perlu dilaksanakan secara bermakna dan inklusif, termasuk melalui diplomasi pencegahan serta mediasi.

Kedua, kerjasama antara PBC dengan Majlis Ekonomi dan Sosial PBB (ECOSOC) perlu diperkukuh bagi menyelaras usaha pembangunan, kemanusiaan dan keamanan.

Selain itu, Malaysia turut menekankan kepentingan membangunkan modal insan dan pembangunan kapasiti dalam usaha memupuk keamanan.

Selain menghadiri mesyuarat PBC, Datuk Seri Mohamad turut menyertai Mesyuarat Koordinasi Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Beliau turut berucap pada Mesyuarat Peringkat Tertinggi Mengenai Ancaman Kewujudan Berpunca Daripada Kenaikan Paras Laut, serta Mesyuarat Peringkat Menteri Menyokong Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA).

Di sela-sela mesyuarat, beliau mengadakan pertemuan dua hala bersama rakan sejawatan dan beberapa tokoh penting, termasuk Menteri Luar Norway, Espen Barth Eide; Menteri Luar Brazil, Mauro Vieira; serta Permerhati Tetap Palestin ke PBB, Riyad Mansour.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.