
KUALA LUMPUR, 14 November – Penanaman sejuta pokok di ibu negara menjelang 2040 menjadi antara usaha memperkukuh mitigasi banjir kilat melalui peluasan kawasan hijau yang mampu menyerap dan memperlahan aliran air hujan secara semula jadi.
- Konsep 'Sponge City' diterapkan melalui rain garden, bioswale dan permukaan telap air untuk tingkatkan resapan dan kurangkan aliran permukaan.
- DBKL menanam 22,940 pokok teduhan antara 2023 hingga 2026, termasuk 8,917 pokok sepanjang tahun ini.
- Tiga projek microforest dilaksanakan, menanam 600 pokok dari 40 spesies tempatan untuk tingkatkan litupan hijau dan biodiversiti bandar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, usaha itu digerakkan menerusi konsep ‘Sponge City’ dengan memperbanyak kawasan ‘microforest’ dan taman poket di lokasi bersesuaian sekitar ibu negara.
“Banyak kebaikan. Satu adalah untuk menurunkan suhu bandar. Bila kita ada pokok, ia lebih selesa untuk semua.
“Yang keduanya adalah untuk kita kurangkan lokasi panas banjir. Bila ada tanaman, ia akan menyerap air hujan,” katanya pada sidang media inisiatif ‘Microforest Sponge City’, di sini.
Seiring usaha itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan sebanyak 22,940 pokok teduhan ditanam di ibu negara bagi tempoh 2023 hingga 2026, termasuk 8,917 pokok sepanjang tahun ini.
DBKL juga sedang mengkaji potensi tanah kerajaan yang belum dibangunkan bagi menyokong sasaran penanaman sejuta pokok menjelang 2040.
Dalam memperluas pembangunan kawasan hijau, DBKL merancang membangunkan 32 kawasan lapang yang telah diwartakan menggunakan konsep ‘microforest’ menjelang 2027.
Sebanyak 183 kawasan lapang dan tapak taman poket yang belum dibangunkan pula dikenal pasti berpotensi dijadikan lokasi ‘microforest’ yang dilengkapi kemudahan rekreasi menjelang 2040.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, pendekatan ‘Sponge City’ merangkumi pembinaan taman hujan atau ‘rain garden’, sistem saliran berlandskap atau ‘bioswale’ serta penggunaan permukaan telap air.
“Pendekatan itu membolehkan air hujan meresap ke dalam tanah dengan lebih baik, sekali gus membantu mengurangkan aliran air di permukaan dan tekanan terhadap sistem perparitan ketika hujan lebat,” katanya pada sidang media sama.
Setakat ini, tiga projek ‘microforest’ telah dilaksanakan di Taman Poket FGV, Lot 20002 Jalan Sultan Ismail serta Lot 316 dan Lot 2002 di Lorong Tuanku Abdul Rahman.
Ketiga-tiga projek berkenaan melibatkan penanaman 600 pokok hutan daripada 40 spesies tempatan bagi meningkatkan litupan hijau dan biodiversiti bandar.