
MERLIMAU, 14 November – Pengundi muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau berasa teruja untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi buat kali pertama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
- Pengundi muda membuat persiapan dan menyelidik maklumat calon serta parti menerusi sumber dalam talian.
- Pelajar seperti Fasha menilai parti berdasarkan kajian sendiri sebelum menentukan undi.
- Pengundi meneliti latar belakang calon dan komitmen untuk memperjuangkan kebajikan penduduk setempat.
Tinjauan RTM mendapati golongan berkenaan membuat pelbagai persiapan, termasuk mendapatkan maklumat mengenai calon yang bertanding serta meneliti parti dan fokus perjuangan menerusi pelbagai maklumat termasuk secara dalam talian.
Salah seorang pelajar, Fasha Melissa Amran berkata, beliau mengambil inisiatif membuat kajian mengenai parti yang bertanding bagi memastikan undi yang diberikan berdasarkan pertimbangan sendiri.
“Saya rasa bertanggungjawab sebagai rakyat Malaysia untuk keluar mengundi. Saya membuat kajian mengenai parti dan akan memilih parti yang saya rasakan sesuai,” katanya.
Seorang lagi pelajar, Noorazhamshah Noorhasyuddin berkata, pengalaman mengundi buat kali pertama amat bermakna dan beliau teruja untuk melaksanakan tanggungjawab itu.
Katanya, beliau turut meneliti latar belakang calon yang bertanding di kawasan berkenaan, khususnya mereka yang mempunyai komitmen untuk memperjuangkan kebajikan penduduk setempat.
“Ini pengalaman yang amat berharga kerana pertama kali mengundi. Saya juga membuat kajian mengenai calon yang benar-benar berminat untuk berkhidmat dan menjaga kebajikan rakyat di kawasan ini,” katanya.
Seramai 1,256 pengundi berusia 18 hingga 20 tahun bakal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi kali pertama di DUN Merlimau.