PRN Melaka: SPR terima 301 laporan kesalahan kecil

Datuk Seri Ramlan Harun / Foto BERNAMA

KESIDANG, 14 November – Sebanyak 301 kesalahan kecil pilihan raya dilaporkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

RINGKASAN BERITA AI
  • SPR telah mengambil tindakan terhadap kesalahan kecil pemasangan bahan kempen di lokasi tidak dibenarkan, termasuk persimpangan jalan.
  • SPR yakin sasaran keluar mengundi sekurang-kurangnya 70 peratus mampu dicapai.
  • Setakat 11 pagi, 28.02 peratus pengundi telah membuang undi; Serkam, Tanjung Bidara dan Rim catat kadar keluar mengundi tertinggi.

Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, kesalahan yang dilaporkan antaranya membabitkan pemasangan bahan kempen seperti poster dan kain rentang di lokasi tidak dibenarkan, termasuk persimpangan jalan.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat yang semakin prihatin terhadap hak mereka untuk melaporkan sebarang kesalahan kecil.

“Perkara tersebut telah pun diambil tindakan oleh pihak SPR,” katanya.

Beliau memaklumkannya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pemantauan di pusat mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Malim bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang, di sini.

Dalam pada itu, beliau berkata, SPR yakin sasaran sekurang-kurangnya 70 peratus keluar mengundi mampu dicapai.

Setakat 11 pagi tadi, seramai 187,543 daripada 669,211 pengundi berdaftar telah menunaikan tanggungjawab, bersamaan 28.02 peratus.

DUN Serkam mencatatkan kadar keluar mengundi tertinggi iaitu 31.28 peratus, diikuti Tanjung Bidara sebanyak 31.10 peratus dan Rim 30.55 peratus.

Datuk Seri Ramlan menjangkakan keputusan awal PRN Melaka dapat diumumkan pada pukul 9.30 malam, manakala keputusan keseluruhan dijangka diperoleh sebelum pukul 12.30 tengah malam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.