Jemaah Menteri komited pertahan kestabilan politik, khidmat sehingga tamat penggal

Menteri Komunikasi ,Datuk Seri Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 25 September – Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil yakin barisan Jemaah Menteri Kerajaan MADANI kekal profesional dan komited mempertahankan kestabilan politik negara, selain akan terus melaksanakan tugas serta tanggungjawab sehingga akhir penggal pentadbiran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Isu pengampunan bersyarat terhadap Najib tidak menjejaskan hubungan antara parti dalam gabungan, terutamanya PH dan BN.
  • Perkenan Yang di-Pertuan Agong dilihat sebagai keputusan berlandaskan Perlembagaan dan undang-undang, bukan bertujuan dendam.
  • Kerajaan MADANI berjaya memacu pertumbuhan ekonomi tinggi sepanjang empat tahun pentadbiran.
  • PH tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan BN jika Parlimen tergantung; PRN Melaka mungkin guna persefahaman politik terhad atau bertanding bersendirian.

Beliau berkata sebarang isu politik termasuk melibatkan keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini tidak menjejaskan hubungan antara parti dalam gabungan itu terutamanya antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Alhamdulillah, kita nampak komitmen daripada semua parti komponen (untuk memastikan kestabilan), tak kiralah apa yang disebut dalam perhimpunan dan sebagainya… ini penting kerana untuk menarik kemasukan pelabur, mereka akan melihat dua perkara utama, iaitu kestabilan politik dan dasar,” katanya ketika menjadi tetamu program audio siar The Tiger Show dihoskan wartawan Amin Iskandar.

Datuk Seri Fahmi juga berkata dalam tempoh empat tahun ini, Kerajaan MADANI berjaya membangunkan ekonomi sehingga pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar mencecah angka yang begitu tinggi.

“Jadi, saya percaya pemimpin-pemimpin parti sanggup mengetepikan apa sahaja perbezaan demi negara,” katanya menjawab pertanyaan mengenai hubungan antara parti yang membentuk Kerajaan Persekutuan.

Pengarah Komunikasi PH itu berkata parti berkenaan melihat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk pengampunan bersyarat kepada Najib, yang juga bekas Presiden UMNO, sebagai keputusan dasar yang dibuat berlandaskan semangat Perlembagaan dan undang-undang negara.

“Ini bukan satu perkara bersifat dendam atau peribadi terhadap sosok tubuh seseorang yang bernama Datuk Seri Najib… Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun banyak kali dalam Parlimen dan luar Parlimen berkata bahawa beliau tidak ada apa-apa motif dendam tetapi ini adalah kedaulatan undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kebarangkalian untuk PH dan BN kembali bekerjasama pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 kelak, Datuk Seri Fahmi tidak menolak kemungkinan berkenaan sekiranya situasi “Parlimen tergantung” seperti pilihan raya lepas berulang.

“Tak mustahil sebab saya nampak, bacaan sayalah, sekiranya dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, untuk mengelakkan ketidakstabilan maka kita perlu ketepikan perbezaan dan bentuk kerajaan demi kestabilan, kemajuan serta keselamatan negara,” katanya.

Ditanya mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan datang, Datuk Seri Fahmi juga tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan BN yang menguasai 21 kerusi Dewan Undangan Negeri menerusi kaedah persefahaman politik terhad atau bersyarat.

“Itu satu pilihan… kedua adalah totally go solo,” katanya sambil menambah dinamik politik tanah air kini berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain.

“Apa yang berlaku di satu negeri belum tentu sesuai dan berlaku di negeri yang lain… apa yang mungkin kita saksikan di dalam siri PRN, belum tentu akan menjadi seperti yang dijangkakan pada PRU.

“Sebab macam (PRN) Melaka masa awal 2022, PH kalah teruk tapi masa PRU, kita menang tiga kerusi… BN dan PN pula tak ada kerusi Parlimen… jadi, pengundi sekarang ni complicated dan kompleks pemikiran dia,” katanya. -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.