Allahyarham Cikgu Idrus dikenang sebagai insan banyak memberi nasihat

Foto FB Anwar Ibrahim

BUKIT MERTAJAM, 25 September – Pemergian abang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Allahyarham Idrus Ibrahim disifatkan keluarganya sebagai kehilangan yang tidak disangka-sangka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ditemukan tidak sedarkan diri ketika bersiap solat Asar selepas tidur.
  • Bekas guru besar dikenang ramah, suka bersembang dan banyak memberi pandangan serta nasihat kepada ramai orang.
  • Keluarga kata tiada masalah kesihatan serius tiga bulan terakhir; meninggalkan empat anak dan sepuluh cucu, dikebumikan selepas solat Jumaat.

Lebih menyentuh hati, Allahyarham dipercayai sedang bersiap untuk menunaikan solat Asar selepas tidur sebelum ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Meskipun pernah dimasukkan ke hospital akibat serangan jantung tahun lalu, kesihatan Allahyarham dikatakan tidak menunjukkan kemerosotan ketara sejak kebelakangan ini.

Anak perempuan Allahyarham, Aida Rafizah Idrus berkata, bapanya juga tidak menunjukkan sebarang masalah kesihatan serius sejak tiga bulan lalu.

Malah, beliau masih mampu menguruskan diri dan berbual seperti biasa.

“Tak sangka. Dia macam biasa saja. Tak ada masuk hospital, cuma buat pemeriksaan berkala saja. Dia boleh jalan, boleh urus diri sendiri. Cuma tak kuat sangat kaki, itu saja.

“Dia macam nak bangun solat Asar kot. Tengok dia dah buat persiapan, macam ada kain pelekat. Macam dia nak pergi,” katanya.

Allahyarham Idrus yang pernah berkhidmat sebagai guru besar, turut dikenang sebagai seorang yang gemar bersembang selain banyak memberikan pandangan dan nasihat kepada orang di sekelilingnya.

Beliau juga sering menjadi tempat rujukan dalam kalangan kenalannya.

“Dia banyak bagi pandangan orang lama. Kalau ada masalah, kita bincang dengan dia. Dia memang rajin bersembang dan banyak bagi pendapat.

“Dia ni bekas guru besar. Anak murid dia ramai. Dia memang pandai bersembang dan banyak bagi pendapat dekat kita,” menurut kenalan Allahyarham, Zainal Abidin Saad.

Allahyarham meninggalkan empat anak dan 10 orang cucu.

Jenazah dijangka dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran masjid lama di Cherok Tok Kun, selepas solat Jumaat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.