
KUALA LUMPUR, 24 September – Pendedahan awal kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar penting bagi membentuk generasi muda yang berfikiran kritis, kreatif serta berdaya saing.
- Pendidikan STEM membentuk kemahiran menyelesaikan masalah, kreativiti dan keupayaan bekerjasama.
- Perkembangan AI, automasi dan pendigitalan menuntut generasi muda menguasai dan menggunakan teknologi secara bijak serta bertanggungjawab.
- Program KPS Berhad bersama Petrosains semakin mendapat sambutan, melibatkan sekolah luar bandar dari pelbagai negeri.
- Program berkembang pesat dengan peningkatan penyertaan; SMK Krubong dinobatkan juara membawa pulang hadiah wang tunai.
Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datin Safida Zalma Mohd Piah berkata, pendidikan STEM bukan sekadar memberi penguasaan ilmu sains dan teknologi, malah membentuk kemahiran menyelesaikan masalah, kreativiti dan keupayaan bekerjasama.
Beliau berkata perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), automasi pintar dan pendigitalan memerlukan generasi muda yang bukan sahaja menguasai teknologi, tetapi menggunakannya secara bijak bertanggungjawab dan kreatif.
Beliau berucap pada Majlis Penutup KPS Berhad Celik Initiative 2026, di ibu negara.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS Berhad), Zulkifli Mawardi menyifatkan program hasil kerjasama strategik KPS Berhad dan Petrosains Sdn Bhd itu semakin mendapat sambutan. Ia termasuk penyertaan sekolah luar bandar dari Johor, Pulau Pinang, Melaka dan Kelantan.
“Kita mula dengan empat sekolah, 20 sekolah pada tahun 2022. Sekarang 56 sekolah dengan 360 pelajar. Jadi dari segi jumlah, nombor itu memang besar, lebih kurang 1,000 pelajar telah menyertai program kami,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis berkenaan.
Dalam majlis berkenaan, kumpulan dari SMK Krubong, Melaka telah dinobatkan juara mengalahkan lapan kumpulan lain yang bersaing pada peringkat akhir, dengan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 3000.