
KUALA LUMPUR, 24 September – Program pendidikan Halal berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) atau HalSTEM wajar diperluas ke sekolah agama, tahfiz dan institusi madrasah bagi membangunkan bakat pelajar dalam bidang berkenaan.
- Memberi pendedahan teori dan praktikal luas kepada pelajar, membantu melahirkan agamawan yang berkemahiran dalam sains dan teknologi.
- Golongan huffaz berpotensi besar menceburi bidang sains sekiranya diberikan ruang dan peluang menyambung pengajian.
- Madrasah dan tahfiz memerlukan sokongan sektor swasta serta universiti untuk mengembangkan bakat pelajar.
- MoU antara IPPH, UPM dan Nestlé melancarkan HalSTEM untuk kukuhkan pendidikan halal, kemahiran praktikal dan pengalaman industri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata usaha itu dapat memberi pendedahan teori dan praktikal yang lebih meluas kepada pelajar, sekali gus membantu melahirkan agamawan yang mempunyai kepakaran dalam bidang sains dan teknologi.
Beliau berkata golongan huffaz mempunyai potensi besar untuk menceburi bidang sains sekiranya diberikan ruang dan peluang untuk menyambung pengajian dalam bidang berkenaan.
“Kerana kita melihat bagaimana potensi anak-anak yang menghafal al-Quran ini, para huffaz, sekiranya mereka diberikan ruang dan peluang untuk menyambung pengajian dalam bidang sains, mereka pasti akan mempunyai potensi yang sangat baik.
“Kita juga melihat madrasah dan tahfiz ini sememangnya memerlukan sokongan daripada sektor swasta dan universiti untuk membantu mengembangkan bakat mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Nestlé Malaysia serta Majlis Pelancaran HalSTEM, di sini hari ini.
Kerjasama itu bertujuan memperkukuh pendidikan dan pembangunan kemahiran dalam bidang halal dan STEM dalam kalangan pelajar sekolah, selain menyediakan pendedahan praktikal serta pengalaman industri.
Inisiatif itu turut menjadi sebahagian daripada usaha IPPH UPM, SYNERGY Halal Nestlé Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membangunkan ekosistem halal yang merangkumi kesedaran pengguna, pembangunan bakat, pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta kemajuan bidang logistik halal dan rantaian bekalan.