
KUALA LUMPUR, 24 September – Bangunan Tunas Utama milik UDA Holdings Berhad (UDA) yang berusia lebih 40 tahun kini diberi nafas baharu menerusi pembangunan semula sebagai Chinatown 1974, sebuah ruang komersial di Jalan Petaling.
- Konsep 'Moving Through Time' menghidupkan suasana era 1970-an dengan sentuhan moden, menumpukan kepada makanan, kesejahteraan dan hospitaliti.
- Model Master Operator mengurus operasi, membimbing PMKS dalam konsep perniagaan, operasi serta keperluan mendapatkan sijil dan kelulusan.
- Inisiatif dijangka meningkatkan kunjungan pelancong, nilai aset, peluang pekerjaan serta ruang keusahawanan; beberapa aset dikenal pasti untuk pemulihan.
Chinatown 1974 mengetengah konsep “Moving Through Time”, berinspirasi suasana Chinatown Kuala Lumpur era 1970-an dalam sentuhan moden. Bangunan lapan tingkat itu menempatkan lapan perniagaan dalam sektor makanan dan minuman, kesejahteraan dan hospitaliti.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, transformasi bangunan yang mula beroperasi pada 1983 itu membuktikan aset lama masih boleh dimanfaatkan secara produktif dengan menyesuaikannya mengikut cita rasa serta keperluan pasaran semasa.
“Tanpa disedari, saya telah membangkitkan mengenai Chinatown 1974 selepas melihatnya tular di TikTok baru-baru ini. Saya menjadikan projek ini sebagai contoh bagaimana UDA boleh mencungkil nilai dan potensi aset sedia ada.
“Bangunan berkonsep sejarah berusia lebih 40 tahun telah tidak dihuni selama lima tahun berikutan COVID-19. Rupanya, projek yang tular itu merupakan projek UDA sendiri, sekali gus amat membanggakan,” tambah beliau lagi.
“Pendekatan inovatif seperti inilah yang patut diteruskan. Apabila agensi kita berusaha dengan strategi yang tepat, kita sememangnya mampu menyampaikan produk dan perkhidmatan bertaraf premium kepada pemegang taruh”, katanya selepas mengadakan lawatan rasmi ke Chinatown 1974, hari ini.
Pembangunan Chinatown 1974 turut membuka peluang kepada usahawan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), untuk menjalankan perniagaan di lokasi komersial yang mempunyai aliran pengunjung yang tinggi.
Pengisian premis berkenaan dilaksana menerusi model Master Operator, yang bukan sahaja bertanggungjawab menguruskan operasi bangunan, malah membimbing usahawan dari segi konsep perniagaan, operasi serta keperluan mendapatkan sijil dan kelulusan berkaitan.
Pendekatan itu membolehkan aset UDA dimanfaat dengan lebih produktif, selain menyediakan ruang kepada PMKS untuk berniaga di lokasi strategik.
Pada masa sama, inisiatif dijangka memberi limpahan manfaat kepada kawasan sekitar menerusi peningkatan kunjungan pelancong, nilai aset, peluang pekerjaan serta ruang keusahawanan kepada usahawan tempatan.
Sehubungan itu, UDA diberi mandat untuk mengenal pasti aset-aset berpotensi yang boleh diberi nafas baharu bagi mengelakkannya terus terbiar sebagai ‘aset lesu’ (tired asset) yang kurang dimanfaatkan.
“Kita masih perlu menanggung kos penyelenggaraan, namun malangnya lokasi tersebut kurang dikunjungi dan sukar dimanfaatkan oleh para usahawan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, UDA telah mengenal pasti kira-kira empat hingga lima aset di seluruh negara untuk melalui proses pemulihan serta pengaktifan semula.
Pendekatan sama turut dapat dilihat menerusi pembangunan Heritage Valley Kuala Lumpur, yang menyediakan ruang perniagaan berkonsepkan lebih moden dan premium, namun masih boleh diakses oleh usahawan kecil serta PMKS.