
KUALA LUMPUR, 18 Oktober – Kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan perlu disusuli langkah mengawal kos sara hidup selain meningkatkan produktiviti di tempat kerja.
- Kenaikan gaji mesti disusuli kawalan kos sara hidup dan peningkatan produktiviti untuk menjaga kesejahteraan pekerja tanpa menjejaskan daya saing perniagaan.
- Kerajaan perlu memantau kesan terhadap pendapatan sebenar, kadar pengangguran, harga barang dan produktiviti.
- Pengecualian kepada PMKS harus bersasar dan dinilai semula secara berkala supaya tidak mewujudkan jurang pendapatan terlalu besar.
Pendekatan itu bagi memastikan kesejahteraan pekerja dapat dipertingkat tanpa menjejaskan daya saing perniagaan.
Pengarah Program MBA & DBA, Putra Business School (PBS), Profesor Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff menyifatkan kenaikan gaji RM300 itu sebagai langkah positif dalam membantu pekerja berdepan peningkatan kos sara hidup.
“Kenaikan RM300 ini sahaja tidak mencukupi jika harga barang, perumahan dan pengangkutan terus meningkat.
“Oleh itu, kerajaan perlu memastikan kenaikan gaji ini mesti disusuli dengan kawalan kos sara hidup dan juga peningkatan produktiviti,” katanya ketika diminta mengulas pelaksanaan kadar gaji minimum baharu serta cadangan gaji permulaan bagi graduan dan pekerja separa mahir.
Tambahnya lagi, kerajaan perlu memantau kesan pelaksanaan kadar gaji terhadap pendapatan sebenar pekerja, kadar pengangguran, harga barang dan produktiviti.
“Prinsip utamanya ialah kenaikan gaji ini mesti disokong oleh peningkatan produktiviti, bukan sekadar peningkatan kos kepada majikan.
“Dengan peningkatan ini, kita dapat meningkatkan taraf hidup pekerja sambil mengekalkan daya saing perniagaan dan juga ekonomi negara,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang dikecualikan buat sementara waktu, beliau berkata kerajaan boleh menilai semula kadar itu secara berkala.
“Kalau kita lihat, pengecualian kepada PMKS yang tertentu boleh dilaksanakan tetapi secara bersasar dan dinilai semula secara berkala supaya tidak mewujudkan jurang pendapatan yang terlalu besar antara pekerja,” katanya.
Pada 9 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan bermula Jun 2027 menerusi Belanjawan 2027.
PMKS dengan hasil jualan tahunan kurang daripada RM50 juta turut diumumkan dikecualikan daripada pelaksanaan kadar gaji minimum berkenaan.