
AMPANG, 18 Oktober – Kehadiran bintang Muay Thai dunia, Rodtang Jitmuangnon mencuri tumpuan pada Kejohanan Muay Thai LAGA Pandan MADANI 2026 yang berlangsung di Kompleks Muhibah Taman Nirwana di sini pada Sabtu malam.
- Penganjur menawarkan kemasukan percuma supaya lebih ramai peminat dapat menyaksikan aksi di gelanggang.
- Kejohanan bersempena Hari Sukan Negara menampilkan tujuh pertarungan termasuk aksi utama 58 kg perebutan tali pinggang Tengku Datuk Seri Zafrul.
- Penganjuran buka ruang kepada bakat tempatan, galak penyertaan golongan muda, dan pelancaran Sahabat MADANI Selangor.
Kehadiran bekas juara dunia kategori flyweight ONE Championship itu sekali gus menambah tarikan kejohanan yang menghimpunkan petarung amatur dan profesional, selain mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat sukan tempur tempatan.
Penganjur, Fairul Ezly Ramli berkata meskipun kemunculan Rodtang mampu menarik perhatian ramai, namun keputusan menawarkan kemasukan percuma ke kejohanan itu bertujuan memberi peluang kepada lebih ramai peminat menyaksikan aksi di gelanggang.
“Kebiasaannya, kehadiran Rodtang mampu menarik ramai penonton sehingga acara bertiket juga boleh mendapat sambutan penuh.
“Namun, kali ini kita menawarkan kemasukan percuma kepada pengunjung. Saya sendiri tidak dapat pastikan keadaan dan kawalan penonton. Oleh itu, kehadiran Rodtang sengaja kita jadikan sebagai satu kejutan,” katanya.
Berlangsung bersempena Hari Sukan Negara, kejohanan itu menampilkan tujuh pertarungan termasuk aksi utama kategori 58 kilogram (kg) antaranya Faris Putra dan Wan Quyym bagi merebut tali pinggang Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Sementara itu, Tengku Datuk Seri Zafrul menyifatkan penganjuran kejohanan berkenaan sebagai usaha positif untuk menarik minat golongan muda menyertai aktiviti sukan yang lebih sihat, selain membuka ruang kepada perkembangan bakat tempatan dalam sukan Muay Thai.
“Ramai yang hadir pada malam ini, sekali gus menunjukkan sambutan menggalakkan terhadap kejohanan ini.
“Pada masa sama, penyertaan golongan muda, khususnya dalam kategori amatur dari seluruh negara, amat penting dalam membangunkan sukan Muay Thai serta membuka peluang kepada mereka untuk melangkah ke peringkat profesional” katanya.
Kehadiran Rodtang bukan sahaja menambah tarikan kejohanan, malah memberi peluang kepada petarung tempatan merasai suasana acara yang turut mendapat perhatian peminat sukan tempur antarabangsa.
Selain aksi dalam gelanggang, program itu turut menyaksikan pelancaran Sahabat MADANI Selangor bagi menggalakkan budaya sukarela, memupuk semangat kebersamaan serta memperluas penyertaan komuniti dan golongan belia.