2,748 notis dan kompaun kesalahan merokok dikeluarkan di Perlis

Foto BERNAMA

KUALA PERLIS, 21 Oktober – Jabatan Kesihatan Negeri Perlis mengeluarkan 2,748 notis dan kompaun bagi pelbagai kesalahan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) sepanjang Januari hingga September tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Siri operasi memeriksa 11,942 premis membawa kepada tindakan penguatkuasaan terhadap pelbagai kesalahan.
  • Sebanyak 2,654 kompaun ditawarkan bernilai RM650,100, manakala 94 notis masih dalam siasatan dan pendakwaan.
  • Orang ramai boleh melapor kesalahan merokok melalui MyLapor (imbas QR) atau aplikasi MySejahtera; inisiatif berkuat kuasa sejak 12 Oktober.

Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, Dr Ghazali Chik berkata, tindakan itu diambil hasil pemeriksaan terhadap 11,942 premis menerusi beberapa siri operasi penguatkuasaan.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 2,654 kompaun ditawarkan dengan nilai keseluruhan RM650,100, manakala 94 notis lagi masih dalam tindakan siasatan dan pendakwaan di mahkamah.

Dalam usaha membendung kesalahan merokok di kawasan larangan, orang ramai boleh menyalurkan aduan menerusi sistem MyLapor dengan mengimbas kod QR pada poster yang disediakan atau melalui aplikasi MySejahtera.

“Inisiatif berkenaan berkuat kuasa sejak 12 Oktober lalu bagi memudahkan orang ramai melaporkan kesalahan merokok di kawasan larangan. Untuk makluman juga, bagi pelaporan ini, selain melapor melalui kod QR yang telah kita tampal, orang awam juga boleh melapor melalui aplikasi MySejahtera.

“MySejahtera ada dalam telefon kita dan sekiranya berlaku insiden atau kejadian merokok, orang awam yang mengesan sesiapa sahaja merokok di tempat larangan merokok boleh melaporkan perkara tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika mengetuai Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Kesihatan Awam Mega peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Perlis di sekitar pekan Kuala Perlis, hari ini.

Dalam operasi itu, satu premis dikesan tidak mempamerkan tanda harga pada kotak rokok yang dijual, sekali gus melanggar peraturan di bawah Akta 852.

Penemuan itu menunjukkan kesedaran dalam kalangan pengusaha premis masih perlu dipertingkatkan bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.