Kes pukul pelajar depan sekolah ditutup – Polis

Tangkap layar video tular

BENTONG, 21 Oktober – Polis mengesahkan kes seorang pelajar yang didakwa dipukul dan diugut oleh dua remaja lelaki di hadapan sebuah sekolah di sini pada 16 Jun lalu ditutup tanpa tindakan lanjut (NFA).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengadu menarik balik laporan polis dan menyatakan hasrat untuk tidak meneruskan kes.
  • Dua remaja, 15 dan 16 tahun, ditahan, direman dua hari lalu dibebaskan dengan jaminan polis.
  • Video 31 saat pergaduhan melibatkan pelajar dan individu dewasa tular di Facebook, menarik perhatian awam.
  • Polis menasihati orang ramai jangan berspekulasi, tidak menyebar maklumat tidak sahih dan melindungi identiti kanak-kanak.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, DSP Azmi Mahmod berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan siasatan, termasuk tindakan pengadu menarik balik laporan polis dan menyatakan hasrat untuk tidak meneruskan kes berkenaan.

Beliau berkata, laporan polis diterima kira-kira pukul 2.45 petang pada 16 Jun lalu daripada bapa mangsa, lelaki tempatan berusia 38 tahun.

Susulan laporan itu, polis menahan dua remaja tempatan berusia 15 dan 16 tahun pada hari sama bagi membantu siasatan.

Kedua-duanya direman selama dua hari bermula 17 Jun sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Kes itu kembali mendapat perhatian selepas video berdurasi 31 saat yang memaparkan pergaduhan membabitkan pelajar sekolah dan seorang individu dewasa tular di media sosial Facebook.

Sehubungan itu, DSP Azmi menasihati orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian berkenaan.

Orang ramai turut diingatkan supaya menghormati privasi dan melindungi identiti individu yang terlibat, khususnya kanak-kanak serta pelajar sekolah, dengan tidak menyebarkan video, gambar atau maklumat yang boleh mendedahkan identiti mereka.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.