
KEMAMAN, 21 Oktober – Usaha memperkasa wanita, golongan belia dan komuniti luar bandar dalam sektor pertanian membolehkan Pegawai Pertanian Daerah Kemaman, Nur Shazwani Mohd Salleh, meraih pengiktirafan antarabangsa menerusi Anugerah 100 Women Heroes in Agrifood Systems and Rural Development 2026.
- Pengiktirafan FAO menghargai sumbangan beliau memperkukuh sistem agrimakanan dan pembangunan komuniti luar bandar.
- Sejak dilantik Pegawai Pertanian Daerah pada 2021, lebih 2,000 petani dan pelanggan menerima bimbingan serta khidmat nasihat.
- Melaksanakan bimbingan teknikal, pembangunan usahawan tani dan pengenalan inovasi untuk tingkatkan produktiviti serta nilai tambah.
- Anugerah melibatkan 100 wanita dari 131 negara; beliau terpilih mewakili Malaysia dan disampaikan di Rome.
Pengiktirafan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa Bersatu (FAO) itu diberikan sebagai menghargai sumbangan beliau dalam memperkukuh sistem agrimakanan dan pembangunan pertanian komuniti luar bandar.
Nur Shazwani, 41 tahun berkata, sejak dilantik sebagai Pegawai Pertanian Daerah Kemaman pada 2021, lebih 2,000 petani dan pelanggan di daerah itu menerima bimbingan serta khidmat nasihat berkaitan pertanian.
“Kejayaan yang dibina dalam masa sepuluh tahun tu adalah merangkumi kepada pembangunan usahawan atau petani kawasan seluruh daerah.
Berapa ribu latihan telah dilaksanakan terlibat semua kita cerita lah dalam ‘Nomination’ percalonan kepada FAO ni, dia nak data peningkatan pengeluaran
tanaman apa yang berjaya,” katanya ketika ditemui RTM, di sini.
Katanya, pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan petani dan memperluas peluang ekonomi berasaskan pertanian, termasuk bimbingan teknikal, pembangunan usahawan tani serta pengenalan inovasi untuk meningkatkan produktiviti dan nilai tambah hasil pertanian.
Beliau bersama pasukannya turut berinteraksi secara langsung dengan petani bagi memberikan khidmat nasihat untuk meningkatkan pengeluaran serta membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Anugerah itu melibatkan 100 wanita dari 131 negara yang dipilih daripada lebih 600 pencalonan bagi menghargai sumbangan mereka dalam memperkukuh sistem agrimakanan, khususnya di kawasan luar bandar.
Nur Shazwani terpilih daripada sembilan calon daripada pelbagai jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk mewakili Malaysia.
Pengiktirafan itu disampaikan Ketua Pengarah FAO, Dr Qu Dongyu, di Plenary Hall, Ibu Pejabat FAO di Rome, Itali, pada 15 Oktober lalu.
Beliau yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, pengiktirafan itu turut membuka ruang untuk memperkenalkan usaha pembangunan pertanian negara kepada masyarakat antarabangsa, khususnya dalam memperkasa wanita, belia dan komuniti luar bandar.
Antara inovasi yang dilaksanakan ialah pengeluaran kelapa dan produk hiliran, khususnya air nira, yang berpotensi dikomersialkan dengan nilai tambah lebih tinggi.