Malaysia, Indonesia perkukuh kerjasama industri kreatif

Datuk Seri Fahmi (kiri) bergambar bersama Teuku Riefky (kanan) selepas mengadakan pertemuan di Jakarta / Foto FB Fahmi Fadzil

JAKARTA, 21 Oktober – Malaysia dan Indonesia mahu memperluas kerjasama dalam industri kreatif menerusi akses pasaran, pembangunan bakat, perkongsian data industri serta penghasilan karya bersama.

RINGKASAN BERITA AI
  • Potensi kerjasama besar dalam filem, muzik, animasi dan harta intelek kerana persamaan budaya, sejarah dan cita rasa masyarakat.
  • Perbincangan di WCCE termasuk Menteri Komunikasi Malaysia dan dua menteri Indonesia, menunjukkan komitmen tinggi kedua negara.
  • Pengiktirafan karya Malaysia di Indonesia seperti Siti Nurhaliza, Sheila Majid dan Upin & Ipin membuka peluang pasaran lebih luas.
  • Kedekatan budaya dan sejarah harus dimanfaatkan untuk menghasilkan karya bersama dan menonjolkan bakat baharu serantau.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, potensi kerjasama antara kedua-dua negara amat besar khususnya dalam bidang filem, muzik, animasi dan harta intelek berikutan persamaan budaya, sejarah serta cita rasa masyarakat.

Beliau berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuannya dengan Menteri Ekonomi Kreatif Indonesia, Teuku Riefky Harsya dan Menteri Kebudayaan Indonesia, Fadli Zon, di sini, sempena Persidangan Dunia Ekonomi Kreatif 2026 (WCCE).

“Kami berbincang tentang usaha memperluas akses pasaran bagi karya dari kedua-dua negara, pembangunan bakat, perkongsian data industri serta kerjasama yang lebih erat antara penggiat industri kreatif Malaysia dan Indonesia,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut Datuk Seri Fahmi lagi, penerimaan terhadap karya dan bakat Malaysia di Indonesia sebelum ini membuktikan wujud ruang luas untuk lebih banyak produk kreatif tempatan menembusi pasaran negara itu.

“Daripada Siti Nurhaliza, Sheila Majid hingga Upin & Ipin, kita telah melihat bagaimana karya Malaysia diterima dengan baik di Indonesia.

“Kita mahu membuka lebih banyak ruang supaya lebih ramai bakat dan lebih banyak karya tempatan dapat menikmati peluang yang sama,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, kedekatan budaya dan sejarah antara Malaysia dan Indonesia perlu dimanfaatkan sebagai kekuatan untuk menghasilkan lebih banyak karya bersama serta mengetengahkan bakat baharu.

“Kita serumpun dan berkongsi banyak cerita. Kedekatan budaya dan sejarah ini harus menjadi kekuatan untuk kita menghasilkan lebih banyak karya bersama, membuka ruang kepada bakat baharu dan membawa cerita dari rantau ini kepada khalayak yang lebih luas,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.