Semikonduktor pacu perdagangan Malaysia lepasi RM400 bilion

Foto Fail RTM

KUALA LUMPUR, 22 November – Nilai perdagangan Malaysia melepasi RM400 bilion buat pertama kali apabila mencatat RM436.61 bilion pada Oktober 2026, mencerminkan peningkatan aktiviti ekonomi serta daya saing negara di pasaran global.

Pakar ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, pencapaian itu didorong permintaan global terhadap semikonduktor, khususnya susulan perkembangan kecerdasan buatan (AI), pusat data dan pendigitalan.

“Selain produk elektrik dan elektronik, eksport petroleum, gas asli cecair, jentera serta barangan perkilangan turut menyumbang kepada pertumbuhan perdagangan negara.

“Jaringan perdagangan yang luas dengan ASEAN, China, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah turut membuka peluang kepada pengeksport Malaysia untuk meneroka pasaran yang lebih besar,” katanya dalam hantaran video kepada RTM.

Mengulas prospek 2027, beliau menjangkakan sektor itu masih mempunyai asas pertumbuhan yang kukuh, namun kadar pertumbuhannya berkemungkinan lebih sederhana berbanding prestasi luar biasa tahun ini.

Katanya, ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, ketidaktentuan geopolitik serta kebergantungan kepada kitaran semikonduktor dan pelaburan AI global antara cabaran yang perlu diberikan perhatian.

Sehubungan itu, Malaysia disaran mempelbagaikan pasaran eksport, meningkatkan nilai tambah produk tempatan serta memperkukuh penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam rantaian bekalan global bagi memastikan pertumbuhan perdagangan negara kekal mampan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.