Malaysia, Nepal runding percepat sijil kematian 54 rakyat hilang

Menteri Luar , Datuk Seri Mohamad Hasan

AYER KEROH, 18 Oktober -Malaysia berunding dengan Nepal bagi mempercepatkan pengeluaran sijil kematian untuk 54 rakyat Malaysia yang hilang susulan tragedi banjir di negara itu pada 26 Ogos lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan Nepal pertimbang pindaan undang-undang atau peruntukan khas bagi mempercepat pengeluaran sijil kematian.
  • Proses sedia ada boleh mengambil masa sehingga tiga tahun, menyukarkan waris urus tuntutan insurans dan perbankan.
  • Nepal berhasrat membentangkan pindaan itu di Parlimen atau menyediakan peruntukan khas jika pindaan gagal.
  • Rakyat Malaysia di Itali dan Perancis dinasihatkan menjauhi demonstrasi, tiada larangan perjalanan tetapi diminta berwaspada.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan Nepal dalam pertimbangan untuk meminda undang-undang atau menyediakan peruntukan khas bagi memudahkan proses berkenaan.

Katanya, proses sedia ada boleh mengambil masa sehingga tiga tahun bagi kes kehilangan tertentu, sekali gus menyukarkan waris menguruskan tuntutan insurans dan urusan perbankan.

“Kerajaan Nepal telah memaklumkan bahawa mereka sedang berusaha untuk membentangkan pindaan undang-undang itu di Parlimen negara berkenaan.

“Sekiranya pindaan tidak dapat dilaksanakan, kerajaan Nepal akan menyediakan peruntukan khas bagi mempercepatkan pengeluaran sijil kematian kepada 54 rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi,” katanya kepada pemberita pada Program Penutup Persidangan Agung Kebangsaan Persatuan Solidariti Nasional (PerSoNa) Kali ke-10 di Ayer Keroh.

Dalam perkembangan lain, rakyat Malaysia yang berada di Itali dan Perancis dinasihatkan menjauhi kawasan demonstrasi dan rusuhan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Datuk Seri Mohamad berkata, setakat ini tiada larangan perjalanan dikeluarkan untuk ke negara berkenaan, namun rakyat Malaysia perlu sentiasa berwaspada.

Menurutnya, demonstrasi tertumpu di kawasan tertentu dan orang ramai dinasihatkan tidak menghampiri atau menyertai perhimpunan terbabit.

Tindakan itu penting bagi mengelakkan rakyat Malaysia berdepan risiko ditahan atau didakwa kerana melanggar undang-undang tempatan.

“Jangan sesekali cuba mencampuri urusan negara berkenaan kerana tindakan itu boleh menyebabkan kita ditangkap dan didakwa oleh pihak berkuasa tempatan.

“Kita perlu menghormati undang-undang negara tersebut dan tidak boleh campur tangan dalam urusan mereka,” katanya.

Demonstrasi di Itali dan Perancis tercetus susulan isu kos sara hidup, tuntutan berkaitan pendidikan serta ketidakpuasan hati terhadap perkhidmatan awam dan perbelanjaan kerajaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.