Data bersepadu penting, kurangkan risiko bencana

Gambar Hiasan / RTM

KUALA LUMPUR, 18 Oktober – Langkah pencegahan awal dan penggunaan data bersepadu perlu diperkukuh bagi mengurangkan risiko bencana berkaitan perubahan iklim, sekali gus meminimumkan kesannya terhadap ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Data bersepadu membantu pihak berkuasa kenal pasti kawasan berisiko dan komuniti terdedah untuk merancang tindakan awal dan penyaluran bantuan.
  • Pendekatan pencegahan perlu diberi perhatian untuk mengurangkan kos pemulihan negara dan kesan ekonomi akibat bencana perubahan iklim.
  • Belanjawan 2027 tingkatkan bantuan pembaikan rumah dan peruntukan untuk kerja cerun, parit serta longkang sebagai langkah ketahanan iklim.

Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Naziatul Aziah Mohd Radzi, berkata data bersepadu penting bagi membantu pihak berkuasa mengenal pasti kawasan berisiko serta komuniti yang terdedah kepada ancaman bencana, sekali gus membolehkan tindakan bersesuaian dirancang lebih awal.

“Data bersepadu sangat penting bagi membolehkan kita mengenal pasti kawasan yang berisiko atau berada di ambang krisis, termasuk komuniti yang tinggal di kawasan sekitarnya.

“Apabila mempunyai data bersepadu, pihak berkuasa dapat mengenal pasti kawasan yang memerlukan perhatian dan seterusnya memudahkan penyaluran bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di angkasapuri, hari ini.

Menurut beliau, pendekatan pencegahan perlu diberi perhatian kerana bencana akibat perubahan iklim bukan sahaja menjejaskan penduduk, malah meningkatkan perbelanjaan kerajaan untuk kerja-kerja pemulihan dan bantuan kepada mangsa.

“Kita mahu mengurangkan risiko kemusnahan yang memberi kesan kepada ekonomi kerana apabila berlakunya bencana akibat perubahan iklim, kerajaan perlu meningkatkan perbelanjaan.

“Perbelanjaan itu meliputi kerja-kerja baik pulih, pemberian bantuan kepada pihak yang terjejas serta pembiayaan kos operasi menyelamat dan sebagainya,” katanya lagi.

Dalam Belanjawan 2027, kerajaan meningkatkan bantuan pembaikan rumah mangsa bencana daripada RM5,000 kepada RM10,000, selain memperuntukkan hampir RM320 juta bagi kerja pembaikan dan naik taraf cerun, parit serta longkang di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.

Mengulas langkah berkenaan, Dr. Naziatul berkata usaha menangani perubahan iklim perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan memberi penekanan kepada pencegahan dan perancangan jangka panjang.

“Ini juga merupakan salah satu langkah yang menunjukkan keseriusan kerajaan dalam menangani masalah perubahan iklim melalui langkah pencegahan.

“Saya berharap agar lebih banyak inisiatif dapat dilaksanakan pada masa akan datang, khususnya oleh penggubal dasar, bagi memastikan isu perubahan iklim diberikan perhatian secara menyeluruh,” katanya lagi.

Selain pengurusan risiko bencana, Belanjawan 2027 turut menyediakan rebat sehingga RM200 menerusi program NUR MADANI bagi pembelian penghawa dingin dan peti sejuk cekap tenaga.

Menurut Dr. Naziatul, inisiatif itu berpotensi menggalakkan pengguna memilih peralatan yang menggunakan tenaga secara lebih cekap, di samping menyokong amalan kehidupan lestari.

Secara keseluruhan, penyelarasan antara agensi, penggunaan data bersepadu dan pelaksanaan inisiatif kecekapan tenaga merupakan antara aspek yang perlu diberi perhatian dalam usaha memperkukuh ketahanan iklim negara serta mengurangkan beban ekonomi akibat perubahan iklim.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.