
IPOH, 18 Oktober – Prestasi wakil rakyat menjadi antara ukuran Parti Tindakan Demokratik (DAP) dalam menentukan calon yang bakal bertanding pada pilihan raya akan datang.
- Anthony Loke tegaskan wakil rakyat kurang aktif berisiko tidak dicalonkan semula.
- Pemantauan prestasi dilaksanakan di setiap negeri untuk memastikan khidmat berterusan kepada masyarakat.
- Sistem di Perak menilai gerak kerja setiap wakil rakyat dengan petanda prestasi utama yang jelas.
- KPI ditetapkan termasuk khidmat masyarakat, kerja kawasan, pengukuhan parti, kehadiran dan keaktifan di lapangan.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menegaskan, wakil rakyat yang kurang aktif dan gagal mencapai prestasi memuaskan berisiko tidak dicalonkan semula pada pilihan raya akan datang.
Menurut beliau, pemantauan prestasi wakil rakyat dilaksanakan di setiap negeri bagi memastikan mereka terus aktif berkhidmat kepada masyarakat.
“Malah di seluruh negara pun ada, tetapi di negeri Perak, memang ada satu sistem yang sangat baik bagi memastikan gerak kerja setiap wakil rakyat mencapai petanda atau hasrat yang kita harapkan.
“Antaranya, pertama ialah khidmat masyarakat, kerja-kerja di kawasan, serta gerak kerja memperkukuhkan parti.
“Paling penting ialah keberadaan mereka di kawasan dan keaktifan di lapangan. Semua ini merupakan petanda atau Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan kepada wakil rakyat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Negeri Perak Ke-24 di sini.
Beliau berkata penilaian itu bertujuan memastikan wakil rakyat terus memberikan khidmat kepada masyarakat serta menambah baik kelemahan yang dikenal pasti.